Lagu tema 'Ola Bola' tercalon dalam Festival Filem Taipei
Madiha Abdullah
Oktober 3, 2016 18:29 MYT
Oktober 3, 2016 18:29 MYT
SELEPAS kejayaan dinobatkan sebagai Lagu Tema Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) baru-baru ini, lagu tema filem 'Ola Bola', 'Arena Cahaya', kini bakal bersaing di peringkat antarabangsa pula.
Lagu tersebut dipilih sebagai antara lima calon kategori Lagu Asal Terbaik di Taipei Golden Horse Film Festival, yang bakal berlangsung November ini.
'Arena Cahaya' adalah hasil ciptaan penyanyinya, Zee Avi bersama Rendra Zawawi.
Lagu itu akan bersaing dengan lagu 'It’s Cold Without Your Love' (dari filem 'Big Fish & Begonia'), 'Sawadika' (dari filem 'Detective Chinatown'), 'Love without Words' (filem 'Lokah Laqi!') dan 'It's not a crime (filem 'Soulmate').
Ketika kemenangan di FFM28, Zee Avi, melalui satu status di Instagram memaklumkan dia sangat teruja dengan pengiktirafan itu, apatah lagi ia merupakan lagu pertama yang ditulis menggunakan hampir sepenuhnya bahasa Melayu.
Taipei Golden Horse Film Festival merupakan acara penganugerahan tahunan berprestij yang memberi pengiktirafan kepada hasil karya dalam bahasa Cina.