Lagu tema 'Ola Bola' raih anugerah di Festival Filem Taipei

Kohilah Sekaran
November 27, 2016 13:19 MYT
Lagu tema filem 'Ola Bola', Arena Cahaya, berjaya memenangi anugerah Lagu Asal Terbaik dalam Majlis Anugerah Taipei Golden Horse Film Festival 2016 yang berlangsung di Taiwan pada malam Sabtu. - Foto Astro Gempak
Lagu tema filem 'Ola Bola', Arena Cahaya, berjaya memenangi anugerah Lagu Asal Terbaik dalam Majlis Anugerah Taipei Golden Horse Film Festival 2016 yang berlangsung di Taiwan pada malam Sabtu.
Arena Cahaya adalah hasil ciptaan penyanyi, Zee Avi bersama Rendra Zawawi.
"Saya fikir saya telah dijemput untuk memberi persembahan lagu," kata Zee yang terkejut selepas menerima anugerah itu di atas pentas.
Penyanyi yang kini tinggal di Amerika Syarikat itu turut mengucapkan terima kasih kepada pengarah filem, Chiu Keng Guan atas peluang ini.
"Terima kasih pengarah Chiu untuk peluang yang luar biasa ini. Projek ini merupakan projek yang menakjubkan kerana ia (filem) adalah mengenai perpaduan, kepelbagaian dan keharmonian. Ini adalah untuk mengingatkan kita semua bahawa kita adalah sama," katanya, sebelum mengucapkan terima kasih kepada beberapa pihak, termasuk tunangnya yang kini berada di New York.
Lagu itu telah bersaing dengan lagu 'It’s Cold Without Your Love' (dari filem 'Big Fish & Begonia'), 'Sawadika' (dari filem 'Detective Chinatown'), 'Love without Words' (filem 'Lokah Laqi!') dan 'It's not a crime (filem 'Soulmate').
Sebelum ini, lagu ini turut dinobatkan sebagai Lagu Tema Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).
Taipei Golden Horse Film Festival merupakan acara penganugerahan tahunan berprestij yang memberi pengiktirafan kepada hasil karya dalam bahasa Cina.
#Anugerah Perfileman Golden Horse 2016 #Ola Bola #Taiwan
;