Lagu patriotik masih dihasilkan, cuma kurang disiarkan - Siti Nurhaliza
Azyyati Ahmad
Ogos 28, 2014 08:30 MYT
Ogos 28, 2014 08:30 MYT
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza menyangkal pandangan sesetengah pihak yang mengatakan industri seni kurang menghasilkan lagu-lagu patriotik dan semangat kenegaraan sejak akhir-akhir ini.
Siti berkata lagu bertema kenegaraan masih banyak dihasilkan, malangnya jarang dimainkan oleh stesen radio dan televisyen.
Dahulu, lagu-lagu seperti Standing In the Eyes (SUKOM), Fikirkan Boleh (Piala Thomas) serta Tangan Yang Menggapai (kes dera) banyak dicipta bagi memberi ingatan kepada sesuatu situasi.
Namun, lagu-lagu sedemikian dilihat semakin kurang dihasilkan.
“Saya kurang bersetuju dengan pendapat berkenaan, bagi saya masih banyak lagu patriotik dan lagu kenegaraan dihasikan tapi adakah ia selalu dimainkan? Itu yang menjadi persoalan,” kata Siti ketika kunjungannya ke Astro AWANI.
Siti turut mengambil contoh lagu ciptaan Faizal Tahir dan Mike Chan, ‘Percaya MH370’ yang dinyanyikan oleh Hazama, Dina, Shah serta beberapa artis radio Astro, yang dibuat khas bagi mengenang dan memberi semangat kepada rakyat dalam menghadapi tragedi MH370.
Siti turut menekankan bahawa lagu-lagu sebegini sepatutnya perlu dimainkan setiap masa dan bukan hanya dimainkan pada bulan kemerdekaan sahaja.
Siti sendiri banyak menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti Tanah Airku Tanah Airmu jua bersama MonoloQue, Hati dari runut bunyi filem 1957 Hati Malaya serta menyanyikan semula lagu seperti Bahtera Merdeka dan Pahlawanku .
Tambah beliau, media terutamanya stesen radio dan televisyen perlu memperbanyakkan program berunsurkan kenegaraan dalam menerapkan semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia.
“Kebanyakan lagu patriotik dimainkan ketika bulan kemerdekaan sahaja. Ia sepatutnya dimainkan selalu oleh stesen radio dan televisyen terutamanya dalam misi menerapkan semangat patriotik,” kata Siti yang turut menjadi tetamu program Agenda AWANI.
Dalam pada itu, Siti akur dengan kesederhanaan dalam menyambut Hari Kemerdekaan ke-57 tahun ini berikutan pelbagai tragedi yang melanda negara.
“Memandangkan situasi sekarang, kita memilih untuk tidak meraikan kemerdekaan secara besar-besaran .
Itu contoh yang baik dalam mengambilkira suasana sayu yang melanda negara pada tahun ini,” kata Siti lagi.
Bagi Siti, kemerdekaan yang negara miliki adalah sesuatu yang perlu disyukuri dan seharusnya rakyat Malaysia bersatu-padu dalam menghadapi apa jua krisis yang melanda negara.
“Saya sebagai rakyat Malaysia berasa bersyukur dengan kemerdekaan yang kita kecapi sehingga ke hari ini dan masih lagi bebas untuk bekerja dan melakukan aktiviti seharian tanpa sekatan,” kata Siti yang sangat mengagumi perjuangan Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Beliau yang baru sahaja melancarkan album berjudul Fragmen, turut mendedikasikan lagu barunya ‘Jaga Dia Untukku’ bagi memberi kekuatan kepada ahli keluarga mangsa tragedi dua pesawat Malaysia Airlines, MH370 dan MH17 dalam melalui masa-masa getir kehilangan orang tersayang.
Siti berkata, apa yang dialami oleh ahli keluarga penumpang kedua-dua tragedi seakan sama dengan emosi yang dilalui beliau ketika suaminya, Dato’ Seri Khalid Mohamad Jiwa terlibat dalam kemalangan di New Zealand pada tahun lepas.
“Kebetulan album ini diterbitkan ketika Malaysia berdepan berita sedih ini saya seakan dapat merasai perasaan yang sama dengan apa yang dilalui oleh ahli keluarga ketika suami saya terlibat dalam kemalangan tahun lepas.” jelas Siti menutup bicara.