Lagu Kertas bawa Noryn keluar dari zon selesa
Astro Awani
April 16, 2024 11:15 MYT
April 16, 2024 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Selama ini, nama Noryn Aziz sangat sinonim sebagai penyani urban lantaran kecenderungannya menyanyikan lagu-lagu bergenre jazz, R&B dan soul.
Lalu, dalam usaha memecah label penyanyi urbah, Noryn Aziz membulatkan tekad membawakan perubahan yang besar dalam kerjaya nyanyiannya dengan merakamkan lagu pop Melayu.
Karya yang sarat dengan pop balada Melayu, Kertas dilihat membuka jalan baharu buat Noryn dalam usaha kembali memasyhurkan namanya di gelanggang seni.
Lagu ciptaan Amylea Azizan, diakui Noryn, tidak sekadar membawa perubahan dalam genre muzik, bahkan juga mencabar kemampuan diri.
"Lagu Kertas mencabar diri kerana saya cuba melakukan perubahan, sesuatu yang saya takuti tidak dapat dilakukan dengan baik.
"Untuk julung kali, saya menyanyikan lagu dari genre pop balada Melayu.
"Dari segi vokal, ia agak berlainan kerana kali ini mencabar vokal menyanyikan lagu nada tinggi dengan teknik vokal berlainan.
"Jadi, saya dapat terokai nyanyian di luar kotak," kata Noryn kepada media.
Tidak hanya semata-mata bergantung pada kepada dirinya sebagai penyanyi, bahkan lagu Kertas disifatkan Noryn merupakan sebuah karya cemerlang Amylea.
Menurut Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 48, peluang menyanyikan lagu Kertas umpama bonus berganda kerana ia juga menjadi runut bunyi drama bersiri Khunsa sentuhan magis sutradara, Shahrulezad Mohameddin yang kini ditayangkan di Astro.
"Saya amat mengidamkan bekerjasama dengan Amylea dan Shahrulezad. Jadi, apabila tawaran datang dan tahu lagu Kertas dicipta khusus untuk drama Khunsa, saya amat berbesar hati.
"Mereka adalah pasukan yang banyak melahirkan karya hebat dan berkualiti, selain tidak klise.
"Menjadi sebahagian daripada pasukan ini adalah penghormatan buat saya," kata Noryn yang sangat berbesar hati menerima peluang itu.
Kata Noryn, lagu Kertas menzahirkan jeritan batin seorang manusia yang pasrah kepada Allah.
"Lagu Kertas meruntun jiwa dan memiliki emosi agak berat mengenai kesedihan serta dugaan takdir kehidupan.
"Sejujurnya, saya menangis ketika berbincang isi lagu ini dengan Amylea kerana terkenang peristiwa yang pernah saya alami.
"Ia adalah lagu mengenai jeritan batin seorang hamba yang sedang mengadu kepada Tuhan, merintih atas apa yang berlaku terhadap dirinya.
"Sebagai manusia, ada kala mempersoalkan mengapa sesuatu terjadi.
"Jeritan batin dalam diri yang tidak mampu lagi tertanggung dengan dugaan bertalu-talu terasa seperti tiada ertinya hidup ini.
"Mula tercari cari jawapan, mengapa aku, mengapa? Yakinlah, Allah sentiasa mendengar dan jangan berputus asa dan bersangka buruk denganNya.
"Langit tak sentiasa cerah, awan tidak sentiasa mendung dan sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar.
"Sebab itu, saya sifatkan lagu Kertas sangat istimewa kerana mempunyai pengertian cukup dalam untuk kita sebagai manusia renungkan bersama," ujar Noryn lagi.