Lagu 'Heavy' beri gambaran tekanan dialami Chester Bennington
Madiha Abdullah
Julai 21, 2017 22:47 MYT
Julai 21, 2017 22:47 MYT
HAMPIR 24 jam selepas berita kematiannya, media antarabangsa mula memfokuskan kepada tekanan yang melanda vokalis Linkin Park, Chester Bennington sehingga dia sanggup mengambil nyawanya sendiri.
Antara yang menjadi tumpuan ialah lagu terbaharu kumpulan itu, "Heavy" yang merupakan single pertama daripada album "One More Light".
"Heavy" ditulis oleh Chester sendiri bersama Mike Shinoda, Brad Delson, Julia Michaels dan Justin Tranter.
Lagu itu antara lainnya menceritakan masalah dan tekanan yang melanda dirinya dan bagaimana hal itu menjadikannya 'gila'.
Paling ketara ialah bait lirik di mana kisahnya mula memasuki fasa letting go (melepaskan) dan set free (membebaskan diri).
Mike Shinoda yang bersama Chester ketika lagu itu ditulis pernah membuat pengakuan kepada majalah Billboard yang rakannya itu berada dalam keadaan sangat tertekan ketika menghasilkan lagu berkenaan.
"Saya tanya adakah dia okey.
"Pada mulanya dia kata okey, tetapi selepas itu dia mengakui berdepan terlalu banyak perkara dalam hidupnya.
"Katanya, dia berasa seakan-akan sedang lemas," cerita Shinoda.
Dalam satu temu ramah terakhir dengan The Mirror, Chester tidak menafikan sedang dalam perjuangan melawan depresi.
"Saya sudah tiba pada satu fasa dalam hidup di mana saya boleh mengalah dan mati, atau terus berjuang. Dan saya pilih untuk berjuang," kata Chester.
Selain pernah berdepan isu penyalahgunaan dadah dan alkohol, Chester juga melalui zaman kanak-kanak dan remaja yang hitam kerana pernah mengalami penderaan seksual.
#Brad Delson
#Chester Bennington
#Dadah
#depresi
#Heavy
#Julia Michaels
#Justin Tranter
#Kanak-kanak
#Linkin Park
#lirik
#Mike Shinoda