Lagu 'Flower' Jisoo BLACKPINK paling laris di China

Sinar Harian
Julai 14, 2023 14:42 MYT
Album solo Jisoo dengan judul Me mengandungi dua lagu iaitu Flower dan All Eyes on Me dirilis pada Mac lalu. - Agensi/Sinar Harian
ANGGOTA kumpulan BLACKPINK, Jisoo terus meraih perhatian ramai apabila lagu solonya berjudul Flower mencipta kejayaan demi kejayaan.
Tidak hanya menjadi antara penyanyi solo wanita K-Pop dengan lagu terpantas melepasi 200 juta aliran dalam laman penstriman, Spotify, tetapi Jisoo, 28, turut mencipta rekod tersendiri apabila lagu nyanyiannya itu menjadi single digital paling laris di China.
Kejayaan Jisoo mendominasi pasaran muzik di China yang dikenali mempunyai syarat dan peraturan ketat terhadap muzik dari luar itu dianggap sebagai pencapaian luar biasa.
Malah lagu popular nyanyiannya itu juga dijangka bakal tercalon untuk empat kategori utama sebuah majlis anugerah muzik berprestij di China akan datang.
Kategori tersebut ialah Single Terlaris, Single Antarabangsa Terlaris, Single K-Pop Terlaris dan Single KPop Solo terlaris.
Album solo Jisoo dengan judul Me mengandungi dua lagu iaitu Flower dan All Eyes on Me dirilis pada Mac lalu.
Jisoo menjadi anggota BLACKPINK terakhir melakukan debut solo selepas Jennie pada 2018, Rose (2021) dan Lisa (2021). -- Sinar Harian
#Jisoo #BLACKPINK #China #K-pop #Flower
;