Lagu Biduanita Negara Saloma diberi nafas baru
Muzaffar Mustapa
Ogos 17, 2014 11:39 MYT
Ogos 17, 2014 11:39 MYT
Jika sebelum ini Astro pernah menerbitkan lagu-lagu tribute khas buat legenda Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarham Sudirman Haji Arshad, kini sebuah lagi projek tribute khas yang memberikan nafas baru kepada lagu-lagu Biduanita Negara Puan Sri Saloma.
Lagu-lagu dari album "A Tribute to Saloma" mula beredar di ruang siber menerusi akaun Soundcloud Astro Gempak.
Sebanyak lima lagu diedarkan menerusi media sosial sempena tayangan eksklusif telefilem dua bahagian "Saloma" di saluran Astro First.
Projek album tersebut diilhamkan sejak awal tahun ini dan proses memilih lagu-lagu yang sesuai bermula sejak Februari.
Kesemua lagu telah disusun semula oleh Azlan & The Typewriter dan mula dirakamkan pada bulan Jun lalu.
Lima lagu tersebut adalah Air Mata Di Kuala Lumpur nyanyian Hazama, Aku Dia & Lagu (Aweera), Bila Luka (Akim), Malam Terakhir (Azlan & The Typewriter) dan Bila Larut Malam (The Lomas gabungan Aishah, Indah, Nabila, Amira).
Syarikat rakaman Sony Music turut bekerjasama dengan Astro untuk menerbitkan sebuah album khas yang memuatkan 10 lagu.
Lima lagu lain dinyanyikan oleh Rafidah Ibrahim, Amy Mastura, Persis, Numerus dan sebuah lagu asal nyanyian Saloma iaitu Istana Cinta.
Album tersebut akan dilancarkan pada 19 Ogos ini manakala telefilem "Saloma" bakal ditayangkan mulai 28 Ogos depan.
Dengarkan lagu-lagu dari album "A Tribute to Saloma" di sini.