Lagi pelakon Korea Selatan ditemui mati

Agensi
Disember 3, 2019 19:06 MYT
Cha In-ha yang berusia 27 tahun itu dipercayai mati setelah ditemui tidak sedarkan diri oleh pengurusnya sendiri. -Foto Instagram@chainha_715
INDUSTRI hiburan Korea Selatan sekali lagi digegarkan dengan berita kematian mengejut pelakon lelaki berusia 27 tahun, Cha In-ha selepas dia ditemui tidak sedarkan diri oleh pengurusnya sendiri.
Memetik laporan berita tempatan, pelakon drama Love With Flaws yang sedang ditayangkan di kaca tv seluruh Korea Selatan itu ditemui mati pada Selasa.
Namun begitu, sehingga kini polis masih belum mengumumkan sebarang butiran lanjut mengenai kes kematian pelakon itu dan siasatan kini giat dijalankan.
Agensi pengurusan aktor itu iaitu Fantagio berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan mereka turut diarah untuk mencari maklumat lanjut.
Malah, pihak pengurusan itu turut mengeluarkan kenyataan mengenai insiden malang itu dan menyeru agar para peminat tidak menyebarkan berita palsu mengenai kematian mendiang.
“Kami sangat berharap agar tiada berita palsu disebarkan di mana-mana platform media sosial.
“Kami juga meminta anda supaya menghormati ahli keluarga mendiang yang kini berdepan dengan kesedihan besar,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, menerusi muat naik terakhir Cha In Ha di laman Instagram, aktor itu sempat menyampaikan mesej terakhirnya pada Isnin.
"Semua orang, berhati-hati", dengan gambarnya sedang memegang telefon bimbit.
Kematian In-ha mengejutkan semua pihak dan ia kurang daripada dua minggu selepas insiden bintang K-pop Goo Hara, 28, yang juga ditemui mati serta seorang lagi bintang K-pop Sulli, 25 tahun, yang meninggal dunia dipercayai akibat bunuh diri.
BACA: Gagal dihubungi, pengurus temui Sulli mati di rumahnya
BACA: Penyanyi K-pop Goo Hara ditemui meninggal dunia
#bunuh #bunuh diri #hiburan #Instagram #keluarga #Korea #Korea Selatan #lelaki #mati #Media #media sosial #meninggal dunia #polis #siasatan
;