Lady Gaga timbulkan kemarahan China kerana bertemu Dalai Lama

Agensi
Jun 28, 2016 17:58 MYT
Dalai Lama (Kiri) dan Lady Gaga sempat bergambar bersama sewaktu persidangan khas di Indianapolis, AS pada 26 Jun lalu. - Foto AFP
Pemerintah China pada Selasa memberitahu pertemuan bintang pop Lady Gaga dengan pemimpin spiritual Tibet Dalai Lama telah menimbulkan kemarahan di negara itu.
Itu termasuk kritikan dari pengguna internet yang menyatakan bahawa Lady Gaga tidak sepatutnya berjumpa dengan individu yang dianggap China sebagai berfahaman pemisah, lapor Reuters.
Kemarahan itu tercetus selepas penyanyi itu memuat naik beberapa gambarnya dengan Dalai Lama pada Ahad di sebuah persidangan di Indianapolis, Amerika Syarikat (AS), ke dalam akaun Twitter dan Instagramnya.
Lady Gaga, yang terkenal dengan lagu Bad Romance dan Born This Way, berbual dengan Dalai Lama tentang beberapa topik termasuk layanan terhadap golongan miskin dan kesihatan mental.
China menganggap Dalai Lama membawa fahaman pemisah yang berbahaya, sedangkan Dalai Lama hanya mahukan autonomi di tanah asalnya.
Dalai Lama terpaksa meninggalkan Tibet dan hidup dalam buangan di India pada tahun 1959 selepas kegagalan usaha menentang undang-undang China.
“Terdapat pemahaman yang luas di peringkat antarabangsa tentang sikap Dalai Lama dan apa yang dilakukannya,” ujar jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei.
Sama ada Lady Gaga mahupun pihak Kementerian Kebudayaan China, yang menyelaras aktiviti artis luar negara di China, masing-masing belum memberi maklum balas berkenaan kes tersebut.
Penyanyi itu popular dalam kalangan golongan muda China namun belum pernah menjayakan konsert di tanah besar China, sebaliknya hanya pernah berbuat demikian di Macau dan Hong Kong.
“Lady Gaga, kau tidak akan kembali ke China,” kata seorang pengguna blog mikro Weibo, manakala banyak komen lain yang menggunakan bahasa kesat dan menghina selebriti itu.
Pertemuan sebegitu dengan Dalai Lama sering membuatkan golongan selebriti menyenarai hitam negara China.
Pada 2008, penyanyi dari Iceland, Bjork, melaungkan "Tibet! Tibet!" pada konsert di Shanghai selepas mempersembahkan lagu Declare Independence, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang pemerintah dan peminat tempatan.
#cetus kemarahan China #Dalai Lama #fahaman pemisah #Lady Gaga #politik China
;