Lady Gaga dedah pernah dirogol ketika remaja

AFP
Disember 4, 2014 11:44 MYT
Lady Gaga mendedahkan dia pernah menjadi mangsa rogol ketika remaja. -Gambar fail
Penyanyi terkenal Lady Gaga baru-baru ini mendedahkan dia pernah menjadi mangsa rogol ketika di usia remaja.
Menurut Gaga, atau nama sebenarnya Stefani Joanne Angelina Germanotta, dia dirogol seorang penerbit muzik 20 tahun lebih tua daripadanya ketika berusia 19 tahun.
Bagi memulihkan semula dirinya, dia terpaksa melalui terapi fizikal dan mental dengan bantuan seorang doctor psikologi selama bertahun-tahun.
“Perkara seperti ini berlaku setiap hari. Ia sangat menakutkan dan menyedihkan. Saya hanya menyedari kesannya selepas empat atau lima tahun kemudian,” kata Gaga ketika ditemu bual hos stesen radio Howard Stern.
“Saya telah merahsiakan perkara ini dan cuba untuk melupakannya. Setelah sekian lama, saya sedar bahawa saya perlukan bantuan untuk mengatasinya,” tambah Gaga.
Gaga, yang terkenal dengan gaya berpakaian menjolok mata dan bersuara lantang, berkata dia tidak melaporkan kes rogol itu.
Katanya, selepas insiden itu berlaku, dia pernah bertembung dengan perogol berkenaan di sebuah kedai dan terus tergamam akibat ketakutan.
#Lady Gaga #penerbit muzik #rogol #Stefani Joanne Angelina Germanotta
;