Lady Gaga buat 4 konsert di Stadium Nasional Singapura pada Mei 2025

Agensi
Mac 10, 2025 12:30 MYT
Lady Gaga akan mengadakan empat persembahan di Stadium Nasional Singapura iaitu pada 18 Mei, 19, 21 dan 24 Mei depan. - Gambar Instagram @adygaga
SINGAPURA: Penyanyi pop terkenal dunia, Lady Gaga akan mengadakan empat persembahan di Stadium Nasional Singapura pada Mei depan.
Persembahan pertamanya akan berlangsung pada 18 Mei diikuti konsert tambahan pada 19, 21 dan 24 Mei depan.
Singapura akan menjadi satu-satunya destinasi di rantau Asia bagi Lady Gaga dalam konsert jelajahnya kali ini.
Kali terakhir Lady Gaga mengadakan konsert di Singapura ialah pada 2012 menerusi Born This Way Ball Tour, di mana dia mengadakan tiga persembahan di Stadium Tertutup Singapura.
Sebelum itu, penyanyi itu juga pernah mengadakan konsert dan persembahan eksklusif pada 2009 dan 2011.
Pengumuman ini dibuat selepas pelancaran album studio ketujuhnya, Mayhem, pada 7 Mac lalu.
Album yang mengandungi 14 buah lagu itu kembali kepada gaya dark-pop yang menjadi identitinya pada awal kerjayanya.
Sebelum album penuh itu dikeluarkan, Lady Gaga telah memperkenalkan tiga single: Disease, Abracadabra dan Die With A Smile.
Tahun lalu, Singapura menjadi tuan rumah kepada beberapa artis antarabangsa terkenal di Stadium Nasional termasuk Taylor Swift, Coldplay, Ed Sheeran, dan Bruno Mars.
#Lady Gaga #konsert Lady Gaga #Stadium Nasional Singapura #Taylor Swift
;