Kuota khas perumahan PPR untuk penggiat seni
Bernama
Jun 11, 2017 07:00 MYT
Jun 11, 2017 07:00 MYT
Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan bahawa kerajaan mewujudkan kuota khas buat penggiat seni memiliki rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Simpang Dua dan Kepong.
Menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar berkata peruntukan kuota khas itu adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan seni.
"Kita perlu bersatu dan berkerja sebagai satu pasukan. Saya yakin nasib dan masa depan seniman akan telus terbela dan disokong kerajaan," katanya semasa majlis Ihya Ramadan Seniman di sini pada Ahad.
Inisiatif KPKT untuk membantu golongan seniman diambil hasil permintaan penggiat seni terhadap kerajaan semasa sesi dialog Transformasi Nasional (TN50) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas.
Presiden Seniman Rozaidi Jamil berkata ia adalah inisiatif pertama antara KPKT dan pihak Seniman dan berharap inisiatif berkenaan dapat membantu golongan seniman terutamanya mereka yang belum mempunyai rumah.
"Seramai 30 peratus daripada ahli seniman adalah pelakon veteran. Mereka telah banyak berjasa dalam meningkatkan martabat industri perfileman negara kita, namun sehingga kini mereka tiada rumah sendiri.
"Saya berharap kuota khas perumahan ini dapat membantu golongan seniman untuk mempunyai rumah sendiri," katanya.
Seniman mempunyai kira-kira 6,000 anggota dan mereka yang layak memohon di bawah kuota perumahan akan dipilih oleh pihak Seniman sendiri.
Menurut Noh, kedua-dua lokasi yang terletak di Selangor itu dipilih kerana majoriti golongan seniman menetap di kawasan bandar.
-- BERNAMA
#Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan
#kuota khas
#Noh Omar
#penggiat seni
#PPR
#Program Perumahan Rakyat
#rumah
#Seniman