Kumpulan Backstreet Boys tidak mahu Donald Trump mainkan lagu mereka
Syafique Shuib
Oktober 13, 2016 15:47 MYT
Oktober 13, 2016 15:47 MYT
KUMPULAN pop terkenal era 90an Backstreet Boys tidak mahu lagu popular mereka dimainkan dalam perhimpunan kempen calon presiden Amerika Syarikat (AS) yang mewakili parti Republikan, Donald Trump.
Dalam satu kenyataan kepada portal The Daily Beast, kumpulan itu menerusi seorang jurucakap berkata mereka tidak memberi sebarang lampu hijau untuk lagu mereka dimainkan dalam apa-apa acara anjuran Trump.
“Kumpulan ini (The Backstreet Boys) tidak memberi kelulusan untuk ini (lagu diputarkan di acara Trump) dan kami tidak ada kena mengena dengan pasukan Trump,” kata jurucakap kumpulan itu, Steven Trachtenbroit kepada portal berkenaan.
Kenyataan itu dibuat susulan beberapa wartawan AS yang sedar bahawa lagu popular kumpulan Backstreet Boys iaitu ‘I Want It That Way’ diputarkan ketika satu perhimpunan anjuran Trump di Florida.
Seorang wartawan di lokasi turut melaporkan lagu itu diputarkan beberapa kali.
Dalam perkembangan lain, kumpulan itu bakal membuat kemunculan semula dengan persembahan tetap (residency) di Planet Hollywood, Las Vegas pada 2017.