Kukuhkan 'home cinema', hasilkan karya sesuai citarasa penonton lawan cetak rompak
Madiha Abdullah
Mac 28, 2021 04:34 MYT
Mac 28, 2021 04:34 MYT
KUALA LUMPUR: Memperkukuhkan platform home cinema atau pawagam di rumah boleh menjadi jawapan kepada isu cetak rompak yang sekian lama membelenggu industri hiburan tempatan.
Pengarah, Hadith Omar berpendapat, langkah ini dilihat bertepatan dan sesuai untuk dimulakan ketika orang ramai kini lebih selesa memilih hiburan di rumah.
Mengambil contoh filem Mael Totey yang mencatat kejayaan luar biasa ketika ditayangkan di Astro First, Hadith berkata penonton hari ini sebenarnya tidak kedekut untuk mengeluarkan wang membeli karya asli, namun akses kepada karya itu perlu mudah dengan kualiti yang menepati citarasa.
"Paling penting, perlu hasilkan karya yang bagus. Apabila karya kita bagus, orang akan bercakap dan cakap-cakap mulut ini sangat berkesan sebagai langkah promosi.
"Contoh filem-filem di Astro First. Cuma kekangan di sini adalah platform seperti ini berbayar, jadi tak semua orang ada.
"Tetapi ia tetap berbalik kepada karya itu sendiri. Kalau ia bagus, orang akan tertarik untuk tonton dan akan langgan platform atau saluran itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Industri Hiburan | Kukuhkan 'home cinema' lawan cetak rompak
Seperti penggiat seni yang lain, Hadith juga merasakan cetak rompak memerlukan kerjasama yang kuat antara semua pihak, termasuk pihak berkuasa dan orang ramai.
Pihak berkuasa, katanya, perlu mempertimbangkan hukuman yang lebih setimpal, manakala orang ramai perlu melihat cetak rompak sebagai jenayah yang serius dan perlu dibanteras.
"Kedua-dua pihak ini perlu sedar yang struktur industri boleh rosak jika tindakan tidak diambil.
"Peringkat awal, mungkin pihak berkuasa kena tingkatkan penguatkuasaan terhadap platform tidak sah seperti terutama dalam talian. Turunkan laman web dan sekat alamat IP mereka, pendek kata cuba setegas yang boleh untuk halang mereka.
"Orang ramai pula kena sedar tentang kewujudan platform tidak sah ini, contohnya apabila mereka menonton secara percuma menerusi Telegram atau Facebook. Ada yang tidak tahu ia satu kesalahan mencuri sebenarnya.
"Begitu juga dengan lambakan banyak device seperti Android box yang mencuri saluran televisyen. Jangan langgan kerana jika anda buat begitu, kami pengkarya tak dapat keuntungan, tak dapat hasilkan karya yang lebih baik dan akhirnya industri lumpuh," ujarnya.