Kugiran Masdo bikin konsert di Dewan Filharmonik Petronas!

Gempak
Mei 18, 2023 18:30 MYT
Pemuzik-pemuzik berbakat dari Kugiran Masdo terdiri daripada Ali Sariah (gitaris/vokalis/komposer), Putu Ceri (bass/komposer/vokalis) dan Asmawi (gitaris/vokal latar). - Gempak
DEWAN Filharmonik Petronas (DFP), yang terletak di Menara Berkembar Petronas, meneruskan keraian 25 tahun penubuhannya dengan mempersembahkan sebuah konsert istimewa bernuansakan muzik 60an dari Kugiran Masdo pada hari Sabtu, 22 Julai 2023 jam 8.30 malam.
Konsert ini merupakan langkah berterusan DFP menghargai bakat-bakat seni dan memberikan mereka platform sejajar dengan matlamat DFP untuk menghidangkan muzik pelbagai genre untuk menarik semua lapisan masyarakat.
Penubuhan Kugiran Masdo pada tahun 2015 diinspirasikan dari filem Allahyarham P Ramlee, Do Re Mi, manakala muzik mereka banyak dipengaruhi oleh kugiran era 1960an seperti A Ramlie & The Rhythm Boys, The Siglap Five dan The Wonders, serta era tahun 2000an seperti The Last Shadow Puppets dan The Changcuters.
Kugiran Masdo melahirkan single pertama bertajuk Bunga pada tahun 2016; dalam masa dua bulan, muzik video single ini mendapat 5 juta tontonan di YouTube.
Album perdana mereka dilahirkan pada tahun 2017 bertajuk Selamat Tinggal Pujaan mengandungi 8 lagu termasuk Bunga, Ratu Hati and Malam Pesta Rock & Roll. Album ini telah mencatat jualan sebanyak 10,000 unit.
Single kedua mereka, Dinda, diedarkan pada tahun 2019 dan mendapat 1 juta tontonan di YouTube pada bulan pertama. Dinda turut tercalon di Anugerah Juara Lagu 34 pada tahun 2020. Lagu ini menduduki tempat kedua dalam senarai 50 lagu tular di digital platform Asia. Penangan lagu ini memuncak pada tahun 2021 bila menjadi tular di Indonesia dengan 46 juta muat turun di aplikasi TikTok.
Kugiran Masdo seterusnya melahirkan album kedua bertajuk Jalan Abbey pada tahun 2019. Rakaman album ini telah dijalankan di studio tersohor Abbey Road Studios di London. Album ini mengandungi lagu-lagu seperti Nearly Near You, Dewi Puspanita, Janji Manis dan Kasih Dan Sayang (yang dijadikan single ketiga dan mendapat tontonan 259,000 di YouTube).
Pada tahun 2021, kumpulan ini melahirkan single keempat, Janji Manis, dengan jumlah tontonan 700,000 di YouTube. Lagu ini menjadi tular di Indonesia dengan 8 juta muat turun di aplikasi TikTok.
Seterusnya, single Dewi Puspita diedarkan pada tahun yang sama dengan penerbitan muzik video hasil kerjasama dengan CENDANA Malaysia.
Mereka terus melakar sejarah pada tahun 2020 pada ketika negara dilanda pandemic dengan sebuah persembahan secara langsung dari Istana Budaya yang mendapat 200,000 tontonan di YouTube.
Kugiran Masdo telah melebarkan sayapnya ke Singapura (melalui konsert di The Esplanade dan The Star Theatre) dan Indonesia (melalui siri konsert jelajah ke Bandung, Bekasi dan Jakarta, serta persembahan di Wonogiri Festival).
Persembahan di DFP ini pastinya mencatit satu lagi sejarah dalam profil seni Kugiran Masdo di mana mereka bakal mengajak para peminat menghayati lagu-lagu hits mereka dalam gubahan simfoni dan akustika dengan memberi penekanan kepada alat-alat muzik bertali (strings section).
Pemuzik-pemuzik berbakat dari Kugiran Masdo terdiri daripada Ali Sariah (gitaris/vokalis/komposer), Putu Ceri (bass/komposer/vokalis) dan Asmawi (gitaris/vokal latar).
Saksikan ekspresi muzik yang unik dari Kugiran Masdo, hanya di DFP! -- Gempak
#Masdo #Dewan Filharmonik Petronas #P Ramlee #muzik 60an
;