KUASA: Taruhan terbaharu dua penerbit filem blockbusters
Astro Awani
Mac 31, 2022 11:25 MYT
Mac 31, 2022 11:25 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Originals bakal mempersembahkan drama siri premium terbaru, KUASA dengan mengetengahkan buat pertama kali kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan yang hidup penuh dengan glamor.
Menariknya, drama siri premium ini merupakan hasil kerjasama dua penerbit filem blockbuster dalam industri perfileman Malaysia, Astro Shaw dan Skop Productions.
Menurut Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad pihaknya gembira dapat berpeluang sekali lagi bekerjasama dengan rakan penerbit Skop Productions dalam penerbitan drama siri premium.
"Kami percaya jalan cerita yang segar dan kualiti produksi yang tinggi, mampu memberi kepuasan berbeza kepada penonton. Begitu juga dengan KUASA, yang mana tema utamanya adalah kekeluargaan yang merupakan subjek universal, tetapi isu yang dikupas berlegar tentang industri perfileman, kerakusan kuasa, sabotaj dan kemasyhuran.
"Jadi, kami harap KUASA dapat mencipta kejayaan tersendiri dan sekali gus menjadi sebahagian perubahan dalam industri hiburan Malaysia,” katanya.
Astro Shaw dan Skop Productions acap kali bergabung dalam menghasilkan filem pecah panggung antaranya, Abang Long Fadil 2, KL Special Force, Misteri Dilaila selain turut meneroka platform Astro First dengan menerbitkan Penunggang Agama 1 & 2.
KUASA menceritakan kehidupan sebuah keluarga penerbit terkemuka yang amat berpengaruh dan hidup dalam kemegahan, bersama tiga orang anak yang bakal mewarisi legasinya. Setiap ahli keluarga mempunyai agenda masing-masing demi menguasai empayar.
Ia membariskan gabungan pelakon senior dan baru seperti Nazim Othman, Nadia Brian, Ridzuan Hashim, Ning Baizura, Dazrin Kamarudin, Izzy Reef, Nia Atasha, Alicia Amin, Syanie Hisham dan Azri Iskandar.
Saksikan KUASA yang bakal ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 11 April ini. Anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand.