Kuasa sastera 'takluk' Yogyakarta
Mariah Ahmad
Februari 26, 2016 08:45 MYT
Februari 26, 2016 08:45 MYT
APABILA penyair, pemuisi, penggiat seni dan sastera daripada pelbagai pelosok dalam satu tanah air itu berkumpul dalam satu tempat, akan hadir dan lahir sebuah 'istana kesenian' yang dinamakan kota budaya.
Sebuah kota yang 'bernafas' daripada kepelbagaian tutur bicara, gerak-geri tarian persembahan, bacaan puisi-puisi, sambil dibuai alunan merdu lagu tradisional, yang seterusnya menghasilkan para seniman, membawa legasi akar umbi.
Astro AWANI berkesempatan untuk menemu bual si pemuisi dari negara serumpun, Kedung Darma Romansha, 30-an, baru-baru ini di Kota Buku, Menara Maju Kuala Lumpur, untuk memahami perkembangan budaya sastera di Yogyakarta, Indonesia.
Beliau hadir ke Malaysia ini sempena Festival Sastera #KotaBharuHokKito yang bermula 25 hingga 27 Februari, di Kelantan.
Menurutnya, Yogyakarta dihidupkan oleh para perantau dari pelbagai bangsa atas kesedaran kolektif mengenai budaya, disamping memberi sokongan yang saling tidak tumpah antara mereka dalam mempelajari dan memahami tarikan masing-masing yang seterusnya mewujudkan kesepakatan yang hebat dalam membentuk kota budaya.
"Saya sendiri dari Indramayu, Jawa Barat dan merantau ke Yogyakarta. Kebanyakan pendatang dari suku daerah yang ada di Indonesia iaitu dari Sumatera Barat, Padang, Acheh, Pulau Papua, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Lampung, Jambi, semua ada di situ. Jadi Indonesia itu adanya di Yogyakarta, semua ada lengkap.
"Merekalah yang menghidupkan kota Yogyakarta ini, baik penyair yang sudah menetap di sini atau pekerja-pekerja seni teaternya. Kemudian, di sini kami selalu mengadakan perbincangan puisi dan festival sastera," kata Kedung.
Beliau juga percaya sokongan dari pemerintah amat penting dalam mewujudkan kota budaya ini, terutama dari segi sokongan kewangan dan ruang untuk melakukan aktiviti kesenian bersama.
"Secara automatiknya, Yogyakarta, terdorong untuk mewujudkan maruah kebudayaannya. Ditambah pula dengan persembahan festival kesenian di sini, yang dilakukan oleh semua suku daerah."
Kedung Darma Romansha menceritakan seni penulisan puisi di Indonesia
Tiada gunanya jikalau terlalu banyak karya sastera telah dihasilkan, namun tiada pembacanya, tiada yang meraikannya sebagai satu naskah budaya.
"Di Yogyakarta ini kita boleh lihat puisi sastera itu banyak sekali dan yang berminat untuk menjadi penyair itu memang banyak. Namun sayang sekali, mereka yang membaca puisi itu kurang.
"Jadi kami melakukan pelbagai aktiviti sastera untuk menarik perhatian anak muda. Kalau kita tidak kembangkan sastera dalam kalangan anak-anak muda ini, maruah bangsa akan mula pudar," katanya.
Sastera Melayu di Nusantara
Kedung mendefinisikan sastera sebagai sesuatu yang diekspresikan melalui teks, berdasarkan reaksi yang kita berikan terhadap persekitaran, sama ada mengenai kegelisahan atau kerisauan mengenai kehidupan atau apa-apa sahaja.
"Sastera boleh memotret sosial kita, dari segi sosio-politik, ataupun diri kita sendiri."
Beliau juga berkata, sudah tiba masanya Malaysia, Indonesia dan negara-negara Asia Tenggara bekerjasama dalam kesusasteran ini secara rasmi.
Kedung Darma Romansha berasakan Indonesia dan Malaysia perlu seiring dalam memperjuangkan sastera dan tradisi Melayu.
"Kita mempunyai akar yang sama iaitu bahasa Melayu. Kalau kita lihat Naskah Wangsakerta yang menceritakan apa yang berlaku di daerah Cirebon, iaitu sebelum pembentukan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, wujudnya satu kumpulan yang terdiri daripada 27 penulis dari seluruh kerajaan di daerah Nusantara.
"Setiap daripada penulis ini akan memberikan karya masing-masing untuk dikumpulkan menjadi satu naskhah, sebagai tanda untuk memperatkan hubungan. Naskhah ini kemudiannya dilarang oleh kerajaan Belanda kerana dianggap memberi ancaman kekuasaan pemerintah mereka.
Generasi Z dan sastera
Bangsa yang tinggi kedudukannya adalah bangsa yang mengenal sasteranya dengan lebih mendalam, kata Kedung.
Jelasnya, dalam sastera merangkupi pelbagai aspek atau isu yang boleh diketengahkan.
"Dalam sastera, semuanya ada, intelektualiti, peta-peta dunia, pembelajaran budaya, semuanya ada. Jadi ternyata, untuk membentuk jati diri, bangsa itu dibentuknya dengan karya sastera melalui perwatakan keperibadian jati diri kita.
"Generasi muda harus tahu, bahawa pentingnya sastera untuk dibaca, ibarat puisi itu sebagai senjata kata-kata.
"Kata-kata itu lebih tajam daripada pedang, sementara pedang mampu membunuh sekurang-kurangnya 10 orang, tapi dengan kata-kata, boleh mempengaruhi ribuan orang, memberi kesedaran untuk membangkitkan kebenaran," ujarnya menutup kata.