Kuasa muzik menyatukan rakyat - Saidah Rastam
Hamzah Hamid
September 6, 2015 22:51 MYT
September 6, 2015 22:51 MYT
Kuasa muzik khususnya lagu-lagu lama yang bersifat patriotik masih memberi kesan mendalam terhadap generasi muda negara apabila dinyanyikan semula secara harmoni dan dihayati maksudnya.
Masyarakat umum juga perlu menyedari bahawa negara ini mempunyai lagu klasik, kebangsaan dan lagu patriotik yang indah sekali gus mengingatkan orang ramai tentang nilai di sebalik penciptaannya.
“Ramai artis meletakkan lagu-lagu bernilai patriotik ini bukan sahaja di televisyen malah di media sosial. Apabila lagu-lagu itu diputarkan, impaknya sampai ke generasi baharu dan membuatkan kita sedar betapa lagu-lagu itu sangat berpengaruh,” ujar komposer Saidah Rastam.
Saidah ditemui selepas menyampaikan perbincangan bertopik Jangan Putih Mata sempena Pameran Merdeka Rakyat yang dianjurkan Kelab Warisan dan Sejarah Malaysia (MHHC) di ibu negara, pada Ahad.
Beliau turut memetik contoh penyanyi seperti Datuk Sheila Majid pernah menyanyikan lagu Tanah Pusaka dalam persembahan lagu klasik Malam Terang Bulan di Dewan Filharmonik Petronas di Kuala Lumpur manakala Dayang Nurfaizah pula pernah membawakan lagu Jauh-Jauh.
Sementara itu, Altimet pula katanya telah menerapkan lagu lama dalam persembahannya, sama seperti Azlan & The Typewriter yang diingati ramai tatkala mengalunkan lagu klasik Jeritan Batinku.
Menurutnya komposer berpengalaman dan penulis buku itu, muzik sebenarnya mempunyai kuasa yang baik dan buruk.
“Dari aspek gelap, lagu telah digunakan dalam perang psikologi untuk menguatkan imej sesebuah rejim seperti yang pernah berlaku di Jerman, Kesatuan Soviet mahupun di China. Dari sudut baik pula, muzik menyatukan masyarakat kerana apabila dinyanyikan bersama, mereka akan mencetus ikatan,” katanya.
Jelasnya, pada tahun 1957 ketika negara merdeka daripada British, Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada 11 negeri berbeza dari aspek budaya, makanan, bahasa dan bermacam-macam lagi.
“Untuk menyatukan semuanya sebagai sebuah negara adalah satu cabaran besar. Tunku (Abdul Rahman) telah mencipta repertoir lagu kebangsaan dan semua orang telah menyanyikan lagu yang sama,” ujarnya.
Tambahnya, lagu Negaraku itu telah menyatukan semua kerana ia dinyanyikan secara harmoni dan semangat bersatu.
Jelasnya, kuasa muzik yang bersifat menyatukan sangat penting terutamanya ketika rakyat berada dalam keadaan pecah-belah dengan situasi yang tidak menentu.