Kuala Lumpur dibanjiri konsert artis Indonesia, penyanyi tempatan sekadar penonton?
Faida Rahim
Oktober 10, 2022 12:00 MYT
Oktober 10, 2022 12:00 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua tahun menyepi berikutan penularan pandemik COVID-19, industri hiburan tanah air kembali rancak dengan pelbagai pengisian acara.
Baik konsert berbayar dan percuma, tayangan filem-filem baharu, pementasan teater dan sebagainya menghidupkan semula Kuala Lumpur.
Peminat muzik pula kebanyakan berada dalam dilema lantaran terlalu banyak konsert diadakan dengan sebilangan besar terpaksa berkira-kira dan membuat pelbagai pertimbangan sebelum memutuskan untuk membeli tiket dengan memilih pementasan artis mana yang mahu ditonton.
Dalam mengupas penganjuran konsert di Malaysia, kita tentu sekali tidak dapat melepaskan pandangan daripada memberi tumpuan pada trend kemasukan penyanyi Indonesia mengadakan konsert berskala besar mahupun kecil di negara ini.
Percaya atau tidak, hampir setiap minggu sejak sebulan lalu, ada sahaja artis dari negara jiran berkunjung ke Malaysia untuk menghiburkan peminat mereka.
Apakah kehadiran mereka benar-benar diterima ramai? Tidakkah peluang dan pintu yang dibuka luas buat mereka tidak mencabar penghibur tempatan?
Dalam diam, lantaran enggan hal ini berpanjangan menjadi ‘kontroversi’ membuatkan perdebatan isu ini hanya dibuat dalam lingkaran kecil khususnya dalam kalangan penggiat industri muzik dan peminat muzik tempatan.
Sebelum kalendar 2022 berakhir, terdapat sebaris penyanyi dari seberang yang bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur.
Mereka terdiri daripada Datuk Seri Rossa, kumpulan NOAH, Ungu, Afghan, Rizky Febian, kumpulan Slank, Fabio Asher, kumpulan Gigi, Ruth Sahanaya dan ramai lagi.
Sebelum ini, kumpulan Dewa19, Kunto Aji dan Hetty Koes Endang juga sudah menghiburkan peminat-peminat mereka di sini.
Tidak dinafikan populariti dan hasil karya barisan artis seberang merupakan salah satu faktor mereka sering dipanggil mengadakan persembahan besar di sini.
Demikian juga dengan sentimen keakraban dan diplomasi budaya yang sejak sekian lama terjalin antara kedua negara menyebabkan Malaysia sentiasa berjiwa besar menerima kehadiran mereka.
Sebetulnya juga, kemasukan artis Indonesia ke Malaysia perlu diteliti dari sudut komersial dan silang budaya.
Paling utama juga, keberuntungan penggiat seni dari negara sahabat itu membuat persembahan di negara ini adalah kerana mereka sudah memiliki pengikut atau peminat yang bukan kecil jumlahnya.
“Kalau ditanya kenapa penganjur sering panggil artis seberang datang buat konsert di Kuala Lumpur, sudah pasti kerana ada permintaan tinggi di sini.
“Sebagai usahawan yang memiliki selok belok dalam penganjuran konsert besar atau kecil, sudah tentu saya perlu membuat pengiraan teliti sebelum menganjurkan konsert untuk mana-mana penyanyi.
“Buat konsert bukan melibatkan jumlah yang sedikit tetapi boleh mencecah ratusan ribu ringgit dan adakala mencecah jutaan ringgit,” kata Pengarah Urusan syarikat penganjur acara, ALIFE dan PR Worldwide Sdn Bhd, Para Rajagopal kepada Astro AWANI ketika berkongsi rasional di sebalik penganjuran konsert-konsert artis Indonesia yang semakin melata sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, seluruh penggiat industri tidak boleh menidakkan kemampuan penyanyi seberang yang memiliki 'crowd' (peminat) atau pengaruh tersendiri.
Dalam masa sama, Para Rajagopal yang juga antara penganjur konsert kumpulan One Republic pada Mac 2023 tidak menafikan terdapat segelintir penyanyi tempatan yang tidak sanggup mengambil sebarang risiko dan hanya mahukan bayaran ditetapkan.
“Berbeza dengan penyanyi luar negara, mereka sanggup mengambil risiko jualan tiket dengan penganjur.
"Mereka meletakkan exposure atau pendedahan ke lokasi luar sebagai keutamaan. Mereka lebih fokus bertemu dengan peminat di seluruh dunia dan harga bukan faktor utama.
"Tetapi macam saya kata tadi, bukan semua. Hanya segelintir sahaja,” komennya.
MATERIAL LAGU INDONESIA LEBIH KUAT
Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim pula tidak menafikan kekuatan material lagu penyanyi seberang antara salah satu faktor kemunculan mereka sentiasa mendapat permintaan di sini.
“Impak sesebuah lagu itu besar dalam karier seorang penyanyi. Jika ada material yang berkualiti, percayalah permintaan buat konsert setiap tahun pasti ada.
“Saya beri contoh, penyanyi Tulus dari Indonesia. Pihak pengurusan di sana memberi tanggungjawab kepada syarikat saya untuk uruskan jika ada sebarang tawaran persembahan di sini.
"Boleh dikatakan setiap bulan pasti ada permintaan untuk Tulus di sini.
“Faktor material yang dipersembahkan oleh Tulus mungkin menjadi faktor utama kenapa dia sering mendapat permintaan untuk adakan persembahan di sini.
"Tambahan pula, bekerja dengan penyanyi seberang juga profesional dan mudah,” komennya ringkas.
Namun begitu, Shiraz yang pernah menganjurkan konsert untuk beberapa nama besar di Malaysia turut memuji profesionalisme penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, kumpulan Wings dan ramai lagi seterusnya tidak menolak untuk menjadi penganjur untuk konsert artis tempatan di masa akan datang.
“Untuk merancakkan industri muzik di Malaysia, saya berbesar hati membantu dan menyokong penyanyi tempatan untuk membuat persembahan konsert dalam skala besar," katanya.
TIDAK PERLU KECIL HATI
Penerbit Eksekutif Belbif Sdn Bhd, Fandy Alias yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang penganjuran acara dan konsert mempunyai pendapat serupa di mana seseorang penyanyi perlu tampil dengan lagu-lagu hebat.
“Penyanyi baru atau lama, kalau ada lagu yang ‘kuat’, tidak mustahil bila jual tiket konsert memang akan laku. Maksudnya dalam sebuah album kena ada banyak pilihan lagu hit.
“Material lagu amat penting untuk tarik crowd. Bukan apa…bimbang nanti bila di konsert hanya satu dua lagu sahaja yang penonton boleh ikut menyanyi sama.
"Ini juga antara faktor sama ada tiket sold out atau sebaliknya,” komennya.
Manakala vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh melihat kemasukan artis Indonesia mengadakan konsert sebagai perkembangan positif industri muzik tempatan.
"Bagi saya, tidak perlu berkecil hati. Kemasukan penyanyi Indonesia bukan suatu masalah. Apa yang penting, peminat nampak industri sudah kembali rancak.
“Jujurnya, saya belum ada pengalaman jumpa penganjur yang ‘pilih bulu’. Sebagai usahawan, saya faham buat bisnes harus ada pulangan.
"Kalau ada yang kurang senang dengan kehadiran artis seberang di sini, saya tak boleh buat apa.
"Sebelum ini saya pernah mengadakan persembahan di salah satu anugerah di Jakarta. Saya akui memang industri muzik di sana jauh ke depan dan saya jadikan ia sebagai inspirasi dalam persembahan,” katanya.