Kritikan sosial menerusi pameran seni Merchandise

Irwan Muhammad Zain
November 5, 2023 13:21 MYT
Pameran solo yang dinamakan Merchandise ini akan diluncurkan pada 11 Nov nanti bermula 4 petang di galeri Pinkguy. - Gambar ihsan Hamir Soib.
SENIMAN sering melihat sesuatu hal atau perkara yang berlaku di sekeliling dengan perspektif berbeza daripada masyarakat awam.
Selalunya, apa sahaja situasi seniman akan melihatnya dari sudut pandangnya yang sarat persoalan dan kritikan.
Begitulah juga dengan seniman Hamir Soib yang jelek melihat situasi politik semasa negara yang dilihatnya tidak banyak berubah.
Kerana bosan dengan apa yang berlaku mutakhir ini, Hamir hadir dengan pameran solo berjudul Merchandise.
“Karya ini lebih kepada menyampaikan tentang perasaan terhadap suasana politik di Malaysia.
"Karya ini jika satu ia ada laci di mana terdapat lukisan joker atau badut di depannya dan bila beli lebih dari satu ia bukan lagi laci.
"Laci-laci tadi bila disusun ia bertukar menjadi kabinet, jadi laci itu boleh ditukar jadi Cabinet of Jokers," katanya ketika ditemui di galeri Pinkguy baru-baru ini.
Menerusi Merchandise, pengumpul seni dapat memiliki karya-karya Hamir pada harga yang sangat rendah dari kebiasaan.
Pengumpul juga tidak perlu menunggu sehingga pameran ini selesai untuk membawa pulang karya Hamir.
“Untuk karya kali ini saya menghasilkan 88 keping, jadi setiap satu berbeza dengan yang lain, saya melukis karakter-karakter.
"Ia ada 88 karakter yang berbeza dan kita tidak diberi pilihan pun untuk sama ada memilih yang cantik atau handsome, semuanya adalah average.
"Dalam hidup kita ini pun kita tidak diberi pilihan untuk memilih, tak ada lah kawan kita semua handsome atau kawan kita semua cantik.
"Untuk karya ini peminat-peminat tidak diberi pilihan," katanya lagi.
Hamir merupakan satu nama besar dalam dunia seni catan dan karya-karyanya sering dimiliki oleh pengumpul seni ternama.
Pameran solo yang dinamakan Merchandise ini akan diluncurkan pada 11 Nov nanti bermula 4 petang di galeri Pinkguy.
Untuk pameran kali ini, selain bekerjasama dengan galeri Pinkguy, Hamir juga bekerja bersama beberapa individu lain seperti Nizam Rahmat dan Azrin Mohd serta memilih senimalaya.com sebagai rakan media.
#Hamir Soib #seni catan #pameran solo #merchandise
;