Krisdayanti intai kerusi Parlimen dalam pilihan raya

Saharudin Musthafa
Mac 18, 2019 17:15 MYT
Krisdayanti giat berkempen sebagai persiapan menghadapi pilihan raya pada April depan. - Gambar Instagram Krisdayanti
SEJAK memilih untuk bergiat secara serius dalam lapangan politik, penyanyi ternama Indonesia, Krisdayanti sudah mula turun padang berjumpa dengan rakyat.
Berdasarkan kiraannya, penyanyi lagu Menghitung Hari itu sudah meredah sehingga 300 kampung sejak September 2018 sehingga ke hari ini.
Dan Krisdayanti juga masih berbaki 170 kampung untuk dikunjunginya bagi melunaskan tanggungjawab bertemu bakal pengundinya.
Atas matlamat membantu rakyat jelata, Krisdayanti memilih Malang Raya, Jawa Timur iaitu tempat kelahirannya.
Di daerah Malang Raya, jumlah pengundi di situ merangkumi sejumlah dua juta orang.
Bagi penyanyi itu, tugas menyantuni rakyat adalah satu usaha yang difikirkannya boleh memberi manfaat kepada orang ramai.
Dalam masa sama, ibu kepada empat cahaya mata itu juga berpendapat, aspirasinya dalam berpolitik seiring dengan apa yang diperjuangkan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Penglibatan aktif Krisdayanti dalam gelanggang politik adalah di bawah bendera Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) iaitu parti yang sama menaungi kerjaya Jokowi.
Pada pilihan raya Indonesia bulan depan, Jokowi akan mempertahakan kerusi Presiden bergandingan dengan Ma'ruf Amin yang akan bertanding kerusi Wakil Presiden.
Pasangan berkenaan akan berhadapan dengan pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.
Dalam perbualan dengan Astro AWANI, Krisdayanti berkata, beliau amat mengagumi cara kerja Presiden Jokowi sepanjang lima tahun perkhidmatan ketua negara itu.
"Sejak lima tahun lalu, semua orang sedia maklum saya bersama-sama menyokong kepimpinan Pak Jokowi. Kesederhanaan beliau amat saya kagumi," kata Krisdayanti.
Berbekalkan pengalaman selama 25 tahun sebagai anak seni, Krisdayanti optimis khidmatnya sebagai wakil rakyat akan memberi manfaat kepada pengundi-pengundinya.
Ini kerana, penghibur itu tidak mempunyai kesukaran untuk menyentuh hati orang ramai kerana sepanjang menjadi artis, itulah yang sering dilakukannya.
"Saya gembira mendekati masyarakat. Saya suka menghiburkan mereka dan melalui politik saya mahu berkhidmat untuk mereka pula," ujarnya yang mengakui jadual hariannya semakin padat dengan aktiviti bertemu orang ramai.
Dalam kesibukan itu, Krisdayanti bagaimanapun, bersyukur kerana suaminya, Raul Lemos tidak pernah henti memberikan sokongan buatnya.
"Suami adalah pendengar yang baik, dia juga banyak berkongsi idea dan memberikan saya pandangan mengenai politik. Daripada suami saya mendapat semangat luar biasa," kata Krisdayanti menghargai peranan suaminya yang juga usahawan berjaya dari Timor Leste.
#Indonesia #Krisdayanti #Malang Raya #Menghitung Hari #Pemilihan Umum #Pemilu #politik
;