Krisdayanti hampir pasti bergelar Ahli Parlimen

Saharudin Musthafa
April 30, 2019 13:49 MYT
Krisdayanti bakal bergelar wakil rakyat bagi kerusi Malang Raya, Jawa Timur. - Gambar Instagram KRISDAYANTI
KERJA keras penyanyi ternama Indonesia, Krisdayanti untuk bergelar wakil rakyat akhirnya membuahkan hasil.
Berdasarkan kiraan pantas atau quick count, penyanyi lagu Menghitung Hari itu sudah hampir pasti bakal bergelar wakil rakyat bagi kerusi Malang Raya di Jawa Timur.
Penghibur yang mesra disapa KD itu antara selebriti yang turut serta dalam Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia pada 17 April lalu.
Isteri kepada usahawan ternama kelahiran Timor Leste, Raul Lemos itu bertanding atas tiket parti politik Parti Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P).
Kepada Krisdayanti, pemilihannya sebagai wakil rakyat merupakan tugas dan amanah yang sangat besar buatnya.
"Alhamdulillah berdasarkan quick count saya unggul. Semoga amanah daripada rakyat mampu untuk saya perjuangkan," kata Krisdayanti kepada Astro AWANI dalam kiriman mesej WhatsApp.
Krisdayanti bagaimanapun enggan terlalu ghairah meraikan kejayaan ini kerana lebih selesa menanti pengumuman rasmi daripada Komisi Pemilihan Umum (KPU).
Semasa kempen Pemilu, Krisdayanti, 44, komited berkempen selama berbulan-bulan selain sering berulang-alik antara Jakarta dan Malang.
Selama tempoh berkempen juga, dia sudah meredah sehingga 300 kampung sejak September 2018.
Di laman Instagram peribadinya, Krisdayanti kerap berkongsi foto-foto dan menyantuni rakyat.
BACA: Krisdayanti intai kerusi Parlimen dalam pilihan raya
#ahli Parlimen #Krisdayanti #Pemilu #wakil rakyat
;