KPH 2.0 dingin, penonton lebih selektif untuk berhibur

Asyraf Roslan
November 25, 2023 20:31 MYT
Syamel dan Ernie Zakri mendendangkan lagu Medley seperti Cinta Tiga Segi, Meraung, Bersamamu dan Sembilu nyanyian asal Ella. Foto: Jun Looi
KUALA LUMPUR: Meskipun mempunyai line up yang hebat, namun sambutan penonton yang hadir ke Konsert Patah Hati 2.0 kurang memuaskan.
Jika pada edisi pertama KPH mampu menarik seramai 2,400 penonton, kali ini sekitar 2,000 tiket sahaja yang terjual meskipun diadakan pada hari biasa.
Pengarah projek KPH 2.0, Ahmad Faizal Zulkipli berpendapat, lambakan konsert artis antarabangsa dan faktor ekonomi semasa menjadi sebab kehadiran penonton ke konsert berkenaan berkurang.
“Kalau ikutkan dari segi promosi konsert ini, kami lebihkan berbanding dengan konsert yang pertama terdahulu tapi kami faham mungkin dari segi kuasa membeli pada masa kini sangat rendah. Itu antara sebab-sebabnya. Tiket mula laju terjual apabila kami mula memberi promosi harga kepada penonton,
“Di sini kami melihat juga harga yang sesuai untuk penonton yang mahu hadir ke konsert yang dianjurkan. Kami setuju juga kalau dari sudut strategi bisnes, lambakan konsert artis antarabangsa juga antara faktor kurangnya pembelian tiket kerana peminat atau penonton sudah mula memilih konsert mana yang mereka mahu pergi menontoni,” katanya semasa sidang media sejurus tamat KPH 2.0 pada Khamis.
Hadir sama ke sidang media, penganjur konsert KPH 2.0, Ts Nasru Syazwan Nawai.
Bagi penyanyi Aisha Retno, penganjuran konsert tersebut boleh disifatkan sebagai berjaya walaupun kekurangan kehadiran penonton disebabkan beberapa faktor tertentu.
“Bagi Aisha peminat yang datang malam ini sangat memberi, walaupun kita nampak ia tidak seramai konsert siri pertama namun peminat masih memberi vibe yang sama,
“Kita juga faham dengan situasi ekonomi sekarang dan apa yang sedang berlaku di Palestin, kita faham namun kami sebagai penyanyi harus meneruskan konsert ini buat mereka yang telah hadir,” ujarnya.
BACA: "Industri muzik sihat, artis Malaysia dah macam level BLACKPINK" - Noh Salleh
Sependapat bersama dengan Aisha, penyanyi, Naim Daniel juga merasakan suasana KPH 2.0 masih lagi meriah malah bukan anak-anak muda sahaja yang datang ke konsert berkenaan.
“Saya rasa vibe-nya masih sama seperti apa yang Aisha kata, Naim rasa kali ini kita lebih engage bersama dengan peminat-peminat, bukan yang pertama tidak namun kali ini peminat lebih memahami rentak sebab ada yang repeat customer.
“Naim juga difahamkan bukan sahaja peminat-peminat muda yang datang ke KPH malam ini, malah ada juga pangkat-pangkat mak dan ayah kita yang turut hadir untuk berhibur, jadi bagi Naim KPH berjaya menarik peminat dari pelbagai usia,” katanya kepada media.
Selain Naim dan Aisha, barisan penyanyi yang turut membuat persembahan di KPH 2.0 adalah Neeta Manis, Ismail Izzani, Nadeera Zaini, Syamel dan Ernie Zakri.
Konsert yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur berlangsung selama hampir tiga jam dan dihadiri lebih kurang 2,000 penonton.
#Konsert Patah Hati 2 0 #Aisha Retno #Naim Daniel #Ernie Zakri
;