Korea Selatan sambut ulang tahun ke-10 BTS
Agensi
Jun 13, 2023 10:15 MYT
Jun 13, 2023 10:15 MYT
SEOUL: Korea Selatan ketika ini sedang meraikan ulang tahun ke-10 superstar K-pop BTS dalam industri muzik.
Muncul sebagai artis ternama, kehadiran BTS bukan sekadar sebagai penghibur masyarakat, namun, jauh lebih utama, budaya popular yang diperjuangkan mereka sudah menjadi komoditi berharga untuk Korea Selatan.
Melalui BTS, pengunjung asing khususnya peminat kumpulan itu berpusu-pusu mengadakan kunjungan ke negara itu.
Bahkan, budaya popular yang diperjuangkan BTS juga membawa masuk pendapatan kepada negara itu melalui penjualan karya-karya seni mereka.
Semenjak kemunculan perdana mereka pada tahun 2013, BTS telah mencapai populariti global yang luar biasa selain mempengaruhi industri muzik serta budaya pop di seluruh dunia.
Realitinya, BTS yang terdiri dari tujuh anggota yaitu RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V, dan Jungkook, telah meraih kejayaan yang memberangsangkan dalam karier seni mereka.
Sepanjang sedekad itu juga, BTS telah menghasilkan banyak album yang berjaya dan meraih pelbagai anugerah dan kejayaan termasuk di Billboard Music Awards, American Music Awards dan Grammy Awards.
Menyedari pengaruh mereka yang luar biasa, BTS tidak hanya membataskan penglibatan mereka pada kerjaya muzik semata-mata.
Sebaliknya, kumpulan ini juga aktif dalam pelbagai kegiatan amal serta mempromosikan nilai-nilai positif seperti kecintaan pada diri, hubungan antara manusia dan perdamaian melalui muzik mereka.
Seperkara yang harus diakui mengenai kejayaan BTS ialah tentu sekali terletak pada peranan peminat setia mereka yang dikenali sebagai ARMY.
ARMY berperanan dalam mendukung kelompok ini sepanjang perjalanan mereka. Mereka merupakan komuniti yang kuat dan berdedikasi dan menyokong BTS dengan penuh kecintaan, tanpa goyah.
Pada ulang tahun ke-10, BTS dan peminat meraikan pencapaian yang luar biasa ini dengan pelbagai acara dan penghargaan khusus.
Perayaan ini juga dianggap momen untuk menghargai perjalanan BTS yang luar biasa dan untuk melihat masa depan yang cerah bagi kelompok ini.
Sebagai ikon budaya Korea Selatan yang turut diiktiraf di peringkat global, BTS akan meneruskan komitmen untuk memberi inspirasi dan mempengaruhi jutaan orang di seluruh dunia dengan muzik dan mesej-mesej mereka.
Ulang tahun ke-10 BTS merupakan tunggak penting dalam sejarah K-pop.
Sempena sedekad yang bersejarah ini juga, Pos Korea turut melancarkan setem khas sebagai menzahirkan rasa hormat kerajaan kepada BTS.
Pada hari pelancaran setem yang mempamerkan elemen-elemen BTS, semuanya habis terjual menerusi penjualan dalam talian.
"Tentu saja BTS adalah superstar global, tetapi kami tidak pernah menjangka setem edisi khas itu habis terjual pada hari penjualan secara dalam talian," kata seorang pegawai tertinggi Pos Korea kepada AFP.
Kemunculan pertama BTS ialah pada 13 Jun 2013 dan mereka tidak mengambil masa yang lama untuk yang mendominasi kedudukan di carta lagu-lagu popular di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Ahli kumpulan BTS juga meraih kekayaan berikutan penjualan album serta undangan mengadakan konsert tidak putus-putus diterima mereka.
BTS ketika ini sedang berehat seketika berikutan dua daripada anggotanya menjalani latihan ketenteraan wajib selama dua tahun.
Mereka, bagaimanapun, baru saja menghasilkan single digital baharu pada minggu lalu untuk merayakan ulang tahun ke-10 BTS.
Lagu berjudul Take Two itu merupakan dedikasi dan penghargaan untuk bab kedua BTS selepas genap sedekad menjadi penghibur.
Sempena ulang tahun BTS itu juga, peminat dan pencinta mereka berkunjung ke Korea untuk mengalami sendiri pengalaman meraikan hari kebesaran artis pujaan mereka.
Kerajaan Korea Selatan turut menganjurkan pelbagai program istimewa sempena ulang tahun artis masyhur negara itu.
"Menakjubkan dapat berada di sini. Menakjubkan dikelilingi oleh ARMY lainnya," kata Anne Micic, seorang peminat BTS berusia 55 tahun dari Australia kepada AFP.
"Sebagai seorang ARMY, ketika anda bertemu dengan ARMY lainnya, rasanya hampir seperti memiliki keluarga lain, yang sungguh menakjubkan." - Agensi