Korea Selatan, AS laksana latihan amfibia kali pertama sejak 2018
Bernama
Mac 17, 2023 17:15 MYT
Mac 17, 2023 17:15 MYT
MOSCOW: Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) akan mengadakan latihan amfibia Ssangyong dari 20 Mac hingga 3 April, selepas latihan di lapangan itu terhenti selama lima tahun, menurut Sputnik yang memetik kenyataan pegawai tentera seperti yang dilaporkan agensi berita Yonhap.
Latihan Ssangyong akan berlangsung 272 kilometer ke tenggara Seoul.
Pihak bersekutu akan menggerakkan pasukan pendaratan amfibia, 30 kapal termasuk kapal serangan amfibia, 70 pesawat, seperti jet pejuang F-35B dan helikopter serang AH-64 Apache, serta kira-kira 50 kenderaan serangan amfibia, lapor agensi berita itu.
"Latihan itu akan mengetengahkan hasrat pakatan Korea Selatan-AS untuk merealisasikan 'keamanan melalui kekuatan', dan kami akan mengukuhkan lagi kedudukan pertahanan gabungan untuk mempertahan Korea Selatan," kata Komandan Kor Marin Korea Selatan Lt Jen Kim Gye-hwan, dipetik oleh Yonhap.
Kira-kira 40 tentera marin UK juga akan mengambil bahagian dalam latihan tahun ini manakala tentera Australia, Perancis dan Filipina akan menjadii pemerhati, kata pegawai tentera itu.
Latihan itu akan diteruskan walaupun dibantah oleh Korea Utara, yang telah berulang kali memberi amaran kepada sekutu supaya tidak menambah kehadiran tentera berhampiran Semenanjung Korea.
Pyongyang turut mengkritik latihan bersama AS-Korea Selatan yang dianggapnya sebagai persediaan untuk menceroboh.
Minggu lepas, Korea Utara berkata tindakan berterusan "amalan bermusuhan" Washington termasuk kemungkinan latihan ketenteraan dan penempatan senjata strategik di Semenanjung Korea dianggap sebagai "pengisytiharan perang".
-- BERNAMA