Kontroversi tak halang Zizan Razak jadi juri Ceria Popstar 3
Gempak
April 23, 2015 18:14 MYT
April 23, 2015 18:14 MYT
Walaupun dilanda kontroversi, namun ia sedikit pun tidak menghalang pelawak dan pelakon Zizan Razak untuk menjadi juri tetap bagi program realiti kanak-kanak Ceria Popstar 3.
Malah Penolong Naib Presiden Astro ceria dan Segmen Remaja, Hadzelynda Khairuddin percaya Zizan mampu memberikan komitmen terhadap kerjayanya.
“Pihak produksi percaya Zizan mampu untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang juri yang diberikan kepadanya. Sebelum ini pun Zizan pernah menjadi juri untuk Ceria Popstar musim kedua.
“Setakat ini Zizan tidak mendatangkan masalah malah dia juga memberikan komitmen yang baik menerusi sesi rakaman yang telah dijalankan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Ceria Popstar 3 bertempat di The Bee, Publika pada Selasa.
Selain itu, Hadzelynda juga menjelaskan pemilihan Zizan adalah berdasarkan kredibilitinya selain merupakan idola kepada kanak-kanak.
“Tidak adil jika kita terus menghukumnya atas dakwaan yang tidak pasti. Kami memilih Zizan kerana dia juga merupakan antara selebriti yang menjadi idola kanak-kanak pada masa kini.
“Kami yakin, walaupun dihimpit kontroversi namun itu bukanlah penghalang untuk dia memberikan fokus terhadap kerjanya.” jelasnya pendek.
Selain Zizan, program ini juga turut menampilkan Dato’ Ac Mizal dan Johan selaku juri tetap manakala seorang lagi merupakan juri jemputan yang akan diundang khas pada setiap minggu.
Ceria Popstar 3 akan bersiaran pada setiap Jumaat, jam 9.00 malam bermula pada 1 Mei 2015 secara eksklusif di Astro Ceria (saluran 611) dan Maya HD (saluran 135).