Kontroversi filem Mentega Terbang: Kerajaan serah kepada Finas, SKMM buat siasatan - Menteri

Umavathi Ramayah
Mac 5, 2023 14:00 MYT
Fahmi (kiri) beramah mesra bersama pelajar di kaunter pengambilan peranti siswa ketika hadir ke Majlis Pengagihan PerantiSiswa dan merasmikan MyDIGITAL.KKD di Universiti Teknologi Mara di Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi dan Digital menyerahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyiasat filem kontroversi Mentega Terbang yang didakwa menyentuh sensitiviti agama Islam.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, siasatan pada ketika ini menjurus kepada beberapa aspek termasuk lesen untuk penggambaran dan pengeluaran filem tersebut.
Pada masa sama katanya, Fahmi juga telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menghantar laporan kepada SKMM dengan segera untuk diteliti.
"Saya difahamkan beberapa aspek sedang diteliti dan disiasat pihak Finas, ini melibatkan lesen untuk penggambaran dan pengeluaran.
"Sekiranya ada tindakan yang perlu diambil, maka saya percaya pihak berkuasa akan ambil tindakan," katanya pada sidang media selepas majlis pengagihan Peranti Siswa dan perasmian MyDigital.KKD di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, di sini pada Ahad.
Sejak minggu lalu, filem Mentega Terbang arahan sutradara muda, Khairil Anwar, tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.
Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam.
Filem terbitan syarikat Meng Kheng Entertainment yang ditayangkan pada 19 Januari menerusi aplikasi penstriman dalam talian menimbulkan pelbagai reaksi termasuk kecaman netizen terhadapnya.
Justeru pelbagai pihak tampil membuat laporan yang menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Komunikasi dan Digital mengambil tindakan tegas terhadap penerbitnya.
#mentega terbang #filem kontroversi #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #sensitiviti Islam
;