Kontroversi David Teo: Portal berita siar audio rakaman temu ramah sebagai bukti
Kohilah Sekaran
Julai 12, 2016 14:27 MYT
Julai 12, 2016 14:27 MYT
Susulan kontroversi berhubung kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Pictures (MiG) yang mendakwa seniman agung Tan Sri P. Ramlee hidup melarat di penghujung kariernya, portal berita Malay Mail Online (MMO) semalam menyiarkan audio rakaman temu bual itu sebagai rekod.
Portal MMO memuat naik klip audio berdurasi 124 saat yang mengandungi temu ramah ringkas dengan Teo yang diadakan di ibu negara pada 17 Jun lalu.
Klip video temu ramah ringkas David Teo pada 17 Jun lalu. -Video ihsan Malay Mail Online via YouTube
Sementara itu, badan bukan kerajaan Persatuan Penulis dan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) menggesa produser filem, David Teo agar tidak menyalahkan media berhubung kenyataan kontroversi beliau yang didakwa menghina seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Sebaliknya, Teo diminta agar bersikap lebih matang dan bertanggungjawab dalam berdepan isu tersebut.
Menerusi satu kenyataan media, Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin menyeru agar media tidak dipersalahkan dalam isu membabitkan kenyataan yang dibuat beliau berhubung kehidupan P.Ramlee kepada MMO.
“WHAM kesal dengan apa yang dijelaskan oleh produser itu kerana ia seolah-olah meletakkan seluruh kesalahan kepada pihak media yang ‘kononnya’ tersalah lapor.
“Saya percaya media tidak akan mengada-adakan berita kerana mereka beroperasi atas Etika Kewartawanan yang kami junjung. Menjadi prinsip ahli media untuk tidak melaporkan benda yang tidak diperkatakan,” kataTengku Khalidah.
Kenyataan Teo yang didakwa menghina seniman agung itu telah membangkitkan kemarahan dalam kalangan anak seni dan netizen amnya.
Ekoran itu, Teo dalam satu kenyataan menafikan ada mengeluarkan kenyataan yang menghina itu.
Jelas pengarah yang juga pemilik syarikat penerbitan MiG itu, dia memandang tinggi dan menghormati P. Ramlee yang disifatkan sebagai penggiat seni dengan bakat yang luar biasa.
Apa yang terjadi kemungkinan berpunca daripada salah tafsir terhadap kenyataan sebenar yang dikeluarkan, kata Teo.
Menurut Tengku Khalida, pihak WHAM berharap agar David Teo menarik balik kenyataan beliau dan segera mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani kemelut ini.