Kontrak Ahmad Idham sebagai CEO FINAS berakhir Mac 2020
Saharudin Musthafa
Disember 9, 2019 15:49 MYT
Disember 9, 2019 15:49 MYT
Seperti yang sudah dijangka, Ahmad Idham Ahmad Nadzri akan melepaskan kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) bermula 10 Mac depan.
Pengumuman itu dibuat Lembaga Pengarah FINAS dan dikongsi menerusi kenyataan media yang diedarkan pada Isnin.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat FINAS menyebut, Lembaga Pengarah FINAS meluluskan permohonan Ahmad Idham Ahmad Nadzri, untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan kepada 10 Mac depan atas alasan peribadi.
Astro AWANI pada minggu lalu melaporkan spekulasi mengenai pengunduran Ahmad Idham rancak diperkatakan oleh pemain industri perfileman tanah air.
Laporan itu menyebut, kedudukan Ahmad Idham ' tidak lagi selamat' dan berkemungkinan jawatan CEO akan digantikan dengan individu lain.
Dalam perhimpunan bersama pegawai dan kakitangan FINAS, Ahmad Idham telah mengumumkan beliau akan mula bercuti minggu depan selama tiga bulan.
BACA: Ahmad Idham direhatkan sebagai CEO FINAS?