Konsert Taylor Swift ditambah kepada enam hari di Singapura
Hasimi Muhamad
Jun 25, 2023 14:23 MYT
Jun 25, 2023 14:23 MYT
BERITA gembira untuk Singapura apabila republik itu terus menjadi 'destinasi pilihan' untuk penyanyi antarabangsa menganjurkan konsert.
Terbaharu, Hab Sukan Singapura mengumumkan konsert jelajah The Eras Tour, Taylor Swift ditambah tiga hari lagi dari 7 hingga 9 Mac tahun depan.
Ini menjadikan persembahan penyanyi dan pemenang Grammy itu di Kota Singa kepada enam hari, menyamai konsert Coldplay yang dijadual berlangsung di Singapura pada Januari 2024.
Sebelum ini, bintang antarabangsa itu dijadual mengadakan konsert di Stadium Nasional pada 2, 3 dan 4 Mac 2024 dengan lebih 200,000 peminat dijangka hadir.
Singapura menjadi satu-satunya lokasi konsert di Asia Tenggara, dan perhentian kedua di Asia selepas Tokyo, Jepun.
Harga tiket konsert jelajah The Eras Tour bermula dari RM372 dengan prajualan tiket konsert bermula 5 Julai ini.
Singapura bukan sahaja berjaya menarik konsert utama dari Barat, tetapi pada awal tahun ini penerbit muzik dan penyanyi India, Anirudh Ravichander turut mengadakan persembahan di Stadium Tertutup Singapura dengan 12,000 tiket habis dijual dalam masa dua hari.
Sementara pada Jun ini, tiket konsert kumpulan K-pop sensasi TWICE turut habis terjual dalam tempoh sama.
Selain itu, lebih 200,000 tiket konsert Coldplay Music of The Spheres World Tour terjual, dengan memecah rekod jualan tiket terbanyak di Singapura dalam masa satu hari.
Memetik laporan TIME, syarikat hiburan yang menguruskan konsert di Singapura, IMC Group Asia, memberitahu bahawa Singapura juga terbukti sebagai lokasi yang ideal untuk persembahan artis.
Faktor tersebut dipengaruhi oleh kemudahan hospitaliti yang baik seperti hotel, makanan dan pengangkutan, selain salah satu lagi pertimbangan utama adalah kemudahan mendapatkan permit kerja dan visa untuk pelancongan.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Malaysia terlepas peluang ekonomi yang boleh dihasilkan daripada penganjuran konsert kumpulan rock alternatif British, Coldplay.
Beliau berkata, Singapura meraih keuntungan besar apabila kumpulan itu memutuskan untuk membuat persembahan selama enam hari di negara berkenaan.