Konsert sulung Coldplay di Kuala Lumpur 22 November 2023

Astro Awani
Mei 9, 2023 11:11 MYT
Kumpulan muzik ternama dari United Kingdom, Coldplay mengesahkan bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 22 November depan.
KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik ternama dari United Kingdom, Coldplay mengesahkan bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 22 November depan.
Kemunculan mereka pada konsert yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu bersempena dengan siri jelajah Music of the Spheres World Tour.
"Live Nation Malaysia turut sama teruja sama seperti peminat-peminat Coldplay untuk menyaksikan konsert yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama itu.
"Ini bakal menjadi kemunculan sulung Coldplay di Malaysia!" kata kenyataan yang dikeluarkan penganjur konsert Coldplay, Live Nation Malaysia dalam kenyataan yang diedarkan.
Selain Kuala Lumpur, Coldplay juga akan mengadakan persembahan di Tokyo, Jepun, Jakarta (Indonesia), Perth (Australia) dan di Taipei (Taiwan).
Coldplay yang dianggotai oleh Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion itu popular dengan lagu-lagu seperti My Universe, The Scientist, Yellow, Hymn for the Weekend, Fix You, Viva La Vida dan banyak lagi.
Siri jelajah Coldplay telah bermula sejak Mac 2022 dan band itu telah menjadi antara artis yang menjual tiket konsert terbanyak di dunia.
Malah, band masyhur dunia itu juga pernah dianugerahkan Favourite Touring Artist tahun 2022 oleh Anugerah AMA dan Tour of the Year 2023 di Anugerah iHeartRadio baru-baru ini.
Tiket-tiket untuk menonton konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour akan dijual kepada publik pada Rabu, 17 Mei ini bermula pukul 10 pagi.
#Coldplay #konsert Coldplay #Music of the Spheres World Tour #Stadium Nasional Bukit Jalil
;