Konsert 'Soul Sisters' satukan kuasa vokal Noryn Aziz, Misha Omar, Siti Sarah
Asyraf Roslan
November 7, 2018 17:04 MYT
November 7, 2018 17:04 MYT
TIGA wanita unggulan dalam dunia seni suara tempatan bakal menggegarkan Panggung Sari di Istana Budaya pada April tahun depan.
Bakal menghadiahkan para peminat dalam persembahan konsert yang dinamakan Soul Sisters, ia menggandingkan kuasa vokal Noryn Aziz, Misha Omar dan Siti Sarah.
Konsert dua malam itu bakal dipentaskan pada 5 dan 6 April 2019.
Pemilihan ketiga-tiga selebriti itu dibuat oleh syarikat produksi persembahan Edd Razhe Entertainment (ERE), berdasarkan reputasi serta kemampuan mereka mendendangkan lagu bergenre soul dan R&B.
Menurut Pengarah Urusan ERE, Edd Razhe, konsert itu bakal menyajikan kelainan kepada semua penonton yang hadir.
“Konsert ini bakal menyajikan kelainan daripada ketiga-tiga artis tersebut. Selain itu, ini merupakan kali pertama lagu bergenre soul dan R&B dipersembahkan di Istana Budaya.
"Jadi pasti banyak kelainan yang akan kami bawakan kepada penonton selama dua hari konsert itu diadakan,” katanya.
Konsert berkenaan juga merupakan titik permulaan bagi Edd untuk kembali memeriahkan industri hiburan selepas dua dekad tidak aktif.
Apa yang menarik tentang Konsert Soul Sisters ini ialah Ed mampu 'memujuk' nama-nama besar industri muzik tempatan untuk menyumbang dalam penganjuran konsert ini.
Mereka termasuk bekas Penerbit Eksekutif Warner Music Malaysia Datuk Nasser Abu Kassim sebagai pengarah muzik, selain juruvokal dan pensyarah muzik, Datuk Syafinaz Selamat.
Tiket boleh didapati melalui www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond) , RM355 (Platinum) , RM255 (Gold) dan RM155 (Silver).