Konsert solo terbesar Afgan di Malaysia Disember ini

Bernama
Oktober 2, 2024 10:40 MYT
Konsert solo terbesar Afgan di Malaysia akan diadakan di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 28 Disember ini.
KUALA LUMPUR: Sepanjang 17 tahun pembabitan dalam industri muzik, Afgan, penyanyi popular Indonesia bergenre melankolik belum berpeluang memanaskan pentas mahupun menyulami galau jiwa peminatnya dengan lagu baladanya dalam skala besar.
Paling tinggi kehadiran peminat pelantun lagu Terima Kasih Cinta ini dalam persembahan konsertnya adalah sekitar 5,000 penonton sahaja dan itu pun di negara kelahirannya.
Namun keadaan ini mungkin berubah apabila Afgan atau nama lengkap Afganshah Reza, 35, bakal menjayakan konsert solo terbesar dalam perjalanan kariernya sebagai penyanyi yang dijadualkan berlangsung di Malaysia pada 28 Disember ini.
Bertempat di Setia Spice Arena, Pulau Pinang, konsert 'Afgan Live in Penang' anjuran Strategy X Entertainment yang akan membabitkan kapasiti penonton kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang ini, sudah pasti satu hadiah amat bermakna buat peminatnya.
"Konsert terbesar saya setakat ini sekitar 5,500 penonton sahaja dan itu pun di Indonesia. Jadi, konsert yang akan berlangsung di Setia Spice Arena, pukul 8 malam itu akan menjadi konsert solo terbesar sepanjang karier nyanyian saya.
"Saya sentiasa teruja untuk mengadakan konsert di Malaysia kerana tahu peminat yang hadir tidak akan pernah mengecewakan walaupun diadakan di Pulau Pinang," katanya pada sidang media konsert itu di sini baru-baru ini.
Tidak menafikan turut berasa gementar dalam menjayakan persembahan berskala besar itu, Afgan yang pernah memenangi trofi Artis Lelaki Terbaik, Anugerah Planet Muzik pada tahun 2009 optimis konsertnya itu akan berjaya dengan sokongan padu penganjur dan pasukannya.
Bakal membuai emosi peminatnya dengan dendangan 25 lagu hits yang menceritakan perjalanan karier seninya, konsert kali ini juga seperti sebelumnya, dijanjikan mampu memukau dan memikat hati mereka yang sentiasa menanti kehadiran penyanyi berbakat besar ini.
Berikutan itu, Afgan yang sebelum ini pernah juga berlakon dalam filem Bukan Cinta Biasa tidak menolak untuk menyambung konsertnya pada hari kedua sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat.
"Sekiranya jualan tiket konsert habis dijual dengan cepat, saya sangat terbuka untuk adakan persembahan kedua keesokan harinya kerana saya memang suka buat persembahan dan itu tiada masalah bagi saya," katanya.
- BERNAMA
#konsert Afgan #Setia Spice Arena #Terima Kasih Cinta #penyanyi Indonesia
;