Konsert solo Jaclyn Victor rai perjalanan dua dekad dalam industri muzik
Bernama
Oktober 15, 2024 09:50 MYT
Oktober 15, 2024 09:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kali pertama Jaclyn Victor menggegarkan dunia muzik tanah air sekitar dua dekad lepas apabila menjuarai pertandingan nyanyian Malaysian Idol 2004.
Pada Sabtu 12 Oktober lepas, penyanyi bervokal lantang ini sekali lagi kembali memukau dengan persembahan penuh nostalgia di Konsert Solo Pertama Jaclyn Victor yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Di sebalik cuaca yang tidak menentu pada hari berlangsungnya konsert tersebut, penyanyi yang mesra dipanggil Jac ini berjaya membuat persembahan yang ternyata mengubat rindu ribuan peminatnya. Penulis yang mula mengikuti karier nyanyian Jaclyn sejak dia dinobatkan juara Malaysia Idol itu, melihat konsert itu sebagai satu persembahan hebat yang tidak akan dilupakan.
Jaclyn yang nama lengkapnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor memulakan persembahan dengan lagu-lagu medley "When You Believe" dan "It's All Coming Back to Me Now" . Vokal yang lantang jelas mengukuhkan kedudukannya sebagai ratu vokal Malaysia, yang tidak boleh dipertikaikan.
Pilihan lagu untuk persembahan Jaclyn pada konsert solonya itu dibuat secara berhati-hati untuk mengimbangkan nostalgia dan lagu-lagu baharu. Dari lagu klasik seperti "Superwoman" dan "Di Bawah Pohon Asmara" kepada hit terkininya, termasuk "Kejutkan Aku" dan "Sesal Tak Bermakna."
Jaclyn kemudiannya berduet dengan bekas protegenya, penyanyi Hael Husaini, menyampaikan lagu-lagu "Ceritera Cinta" dan "Sandarkan Pada Kenangan." Paduan bertenaga suara kedua-duanya ketika menyampaikan lagu-lagu berkenaan begitu mempersonakan.
Apabila mendendangkan lagu "Jagalah Diri", Jaclyn sekali lagi tidak mengecewakan para penonton. Lagu yang disampaikan berikutnya "Cinta" juga amat menghiburkan.
Para peminat Jaclyn kemudiannya dihiburkan dengan lagu ikonik Datuk Sheila Majid "Sinaran" yang turut hadir menonton konsert itu. Suasana menjadi gamat apabila Jaclyn turun dari pentas dan menuju kepada penyanyi Liza Hanim dan Marsha Milan untuk sama-sama menyanyikan lagu itu.
Satu lagi momen indah apabila Jaclyn mendendangkan dengan penuh perasaan lagu yang dipopularkan oleh Anuar Zain iaitu "Sedetik Lebih". Ini diikuti lagu "Cinta Tiada Akhirnya" dan lagu medley rancak "Las Ketchup", "Conga" dan "Let's Get Loud." Jaclyn turut berduet dengan Siti Nordiana melantunkan "Nisan Cinta".
Jaclyn kemudiannya menyampaikan selama 10 minit "Koleksi Gemilang", menghiburkan penonton dengan lagu-lagu ikonik Malaysia. Keseluruhan dewan bertukar seolah-olah sebagai sesi karaoke, dengan rata-rata penonton termasuk penulis sendiri, menyanyi bersama dengan penuh bersemangat.
Jaclyn juga tidak ketinggalan berkongsi dengan para peminatnya beberapa lagu yang terkandung dalam album baharunya, seperti "Lepaskan Saja","Racun","Airmataku" dan "Run" di samping lagu "Inilah Saatnya" secara eksklusif daripada single baharunya.
Persembahan konsert itu dilengkapkan lagi dengan Jaclyn 'bersatu semula' dengan trio 3Suara. Bersama mereka mendendangkan lagu-lagu kegemaran seperti "Semua Isi Hatimu", "Di Mana-Dimana" dan lagu yang menjadi tidak lapuk dek zaman "Beribu Sesalan." Penyampaian mereka penuh harmoni dan masih menyengat.
Akhir sekali, Jaclyn tidak menghampakan peminatnya dengan lagu yang amat dinanti-nantikan iaitu "Gemilang." Penonton bersorak keriangan dan masing-masing bangun memberikan tepukan untuk persembahan yang sungguh mengagumkan.
Jaclyn menutup persembahannya dengan menyampaikan lagu klasik Bollywood, "Bole Chudiyan" yang membuatkan penonton sekali lagi bangkit dan ramai yang turut sama menyanyi.
Konsert Solo Pertama Jaclyn Victor yang berlangsung meriah ini meraikan perjalanan selama kira-kira dua dekad penyanyi ini dalam industri muzik tanah air.
-- BERNAMA