Konsert Slank di Kuala Lumpur 19 November
Faida Rahim
September 23, 2022 09:00 MYT
September 23, 2022 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sempena ulang tahun ke-40 dalam industri, kumpulan rock terkenal Indonesia Slank akan mengadakan 'Konsert 4 Dekad Slank' di Zepp Kuala Lumpur pada 19 November depan.
Slank yang terkenal dengan lagu I Miss U but I hate U bakal beraksi dalam persembahan selama dua jam dengan dendangan lagu-lagu hits mereka sepanjang 40 tahun dalam industri muzik.
Menurut penganjur TBRW Global Sdn Bhd, Wan Norul Fadly dalam kenyataan media memaklumkan pihak mereka berterima kasih dan gembira dengan kesudian Slank untuk terbang ke Malaysia dan membuat persembahan di sini.
“Kami membawakan sebuah kumpulan legenda Indonesia dan kami berasa sangat gembira untuk mengumumkan Konsert 4 Dekad Slank akan diadakan pada 19 November ini,” ujar Norul Fadly.
Pembelian tiket boleh dibuat di https://www.ticket2u.com.my bermula 23 September jam 11 pagi. Harga tiket bermula dari harga (pembelian awal) kategori 4 (RM 298), kategori 3 (RM 398), kategori 2 (RM 198) dan kategori 1 (RM 238) manakala harga biasa kategori 4 (RM 318), kategori 3 (RM 418), kategori 2 (RM 218) dan kategori 1 (RM 258).
Kumpulan Slank yang dianggotai oleh vokalis Kaka, Bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) yang membawa aliran muzik rock pernah muncul dengan 24 buah album antaranya Suit suit...hehehe (1991), Mata Hati Reformasi, Tujuh "Slow But Sure", Anthem for the Broken-Hearted, Virus dan banyak lagi.