Konsert Ramli Sarip bukan sekadar lagu, ia jati diri

Hamzah Hamid
Oktober 19, 2014 17:32 MYT
Konsert Ramli Sarip bukan sekadar lagu, ia jati diri
Seingat saya, kali akhir kenangan bertemu beliau secara berdepan adalah ketika saya berumur 12 tahun di Singapura.
Keluarga sebelah ayah saya yang berasal dari republik itu membuatkan saya kerap bertemu sanak saudara di sana, khususnya ketika bersolat Jumaat di Masjid Sultan.
Di situlah saya sering kali melihat kelibat beliau di sekitar kawasan masjid berkenaan, iaitu paling kerap di Bussorah Street.
Dengan rambut panjang yang dilepas atau diikat laksana seorang samurai, beliau jalan menunduk dan kemudian mengangguk, bersalaman atau melambai budiman pada sesiapapun yang menegurnya.
Saya terpesona dengan sifatnya itu. Saya tahu dia bernama besar, namun rendah jiwa pada orang di sekelilingnya.
Beliau ialah yang hari ini kita sanjung sebagai legenda rock iaitu Datuk Ramli Sarip.
Kesempatan menyaksikan konsert Hayat... 45 Tahun Seniman Ramli Sarip di Istana Budaya Jumaat lalu adalah suatu yang mengujakan tapi pada masa sama sedikit janggal bagi saya.
Ini kerana walaupun menghormati bakat dan kejayaan kerjaya beliau, jujur saya akui, rock bukan dalam tangga pertama carta pendengaran saya ini yang lebih mesra R&B dan pop.
Malah, saya tidak mampu mengingati lirik dan melodi kebanyakan lagu-lagu beliau pada malam itu kecuali beberapa misalnya Orang Kota, Bukan Kerana Nama, Teratai, Kamelia dan satu dua lagi yang diaduk nafas tradisional.
Meskipun begitu, persembahan beliau selama lebih tiga jam itu sangat mudah menjentik keterujaan buat keseluruhan audiens termasuk orang yang 'malu-malu' rock seperti saya.
Suara Ramli yang lunak rustik dan serak organik itu menusuk ke hati semua. Penyampaian lirik dalam karya lagunya ibarat pesan daripada seorang ayah kepada anak, atau dari seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain.
Lebih-lebih lagi nyanyiannya yang diiringi sambaran voltan muzik khususnya petikan gitar dan pukulan dram yang mampu mengubah ritma degup jantung audiens!
Hebat sungguh sembilan pemuzik dalam konsert itu yang kemudian bertambah jumlahnya dengan kemunculan anggota kumpulan Sweet Charity iaitu Rahman Sarbani, Rosli Mohalim dan Ahmad Jaffar Jawahir.
Rangkaian lagu yang menjadi titik awal seorang seniman bersama Ramli Sarip seperti Istilah Bercinta, Panah Beracun dan Fantasi Tapi Kenyataan mudah diikut ramai peminat setia yang sama-sama menghentak kaki, bertepuk tangan dan bersorak mengikut rentak.
Sesungguhnya pada malam itu, Ramli telah membawa audiens khayal dalam bingit irama keras hingga terlambung tinggi ke langit.
Kemudian, setiap daripada kami jatuh dari awan ke sungai yang akhirnya menyedarkan kami dalam suasana desa yang kaya bunyi-bunyian akar budaya Nusantara.
Itulah yang dirasakan ketika beliau mendendangkan lagu-lagu seperti Musafir Rindu, Lagu Zaman, Syair Laila Majnun, Temasya Desa Gemalai, dan Doa Buat Kekasih yang pantas membuatkan hadirin hanyut bersama dalam sesi sing-along.
Dalam konsert tersebut, Ramli turut menghadiahkan audiens dengan mengundang vokalis kumpulan God Bless, Achmad Albar, selain berduet bersama Aris Ariwatan dan Dayang Nurfaizah.
Kenangan pahit manis sepanjang karier Ramli turut dikongsi kepada audiens secara santai di sela masa antara segmen.
Yang pasti, konsert itu bukan semata-mata tentang lagunya, malah tentang perkaitan hidup kita semua yang sentiasa dikelilingi pelbagai peristiwa suka duka.
Ramli Sarip dalam konsertnya itu nyata sungguh menghiburkan. Tidak lupa juga beliau mengingatkan kita tentang jati diri, selain menyampaikan nyanyian doa yang ikhlas jujur tentang kedamaian serta kemanusiaan.
Memang puas! Persoalannya, adakah saya masih bersalut R&B dan pop selepas konsert tersebut?
Apa yang saya boleh katakan, setiap daripada kita mempunyai paling kurang secebis semangat rock dalam diri untuk dijelmakan pada bila-bila masa.
Dengan adanya Datuk Ramli Sarip, rock itu mudah untuk kita terkesan dalam getarannya. Kita sebagai audiens, hanya perlu disuntik aksi jujur seorang legenda!
** Malam ini adalah malam akhir konsert Hayat... 45 Tahun Seniman Ramli Sarip di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Ia bakal dibawa ke Esplanade, Singapura pada 21 Oktober 2014. Di Singapura, tiket dijual pada harga $40 hingga $80 menerusi laman web www.sistic.com.
#Istana Budaya #konsert #Ramli Sarip
;