Konsert pertama Madonna di Singapura Februari ini
Madiha Abdullah
Januari 7, 2016 13:38 MYT
Januari 7, 2016 13:38 MYT
BUAT kali pertamanya, diva pop antarabangsa, Madonna bakal membuat persembahan di Singapura menerusi konsert jelajah 'Rebel Heart Tour'.
Konsert tersebut bakal berlangsung di Stadium Nasional pada 28 Februari 2016.
Ia bakal menyaksikan persembahan selama hampir tiga jam daripada diva pop itu, dengan seleksi lagu-lagu popularnya termasuk daripada album terbaharu 'Rebel Heart', seperti 'Living For Love' dan 'Devil Pray'.
Peminat juga pastinya akan dihiburkan dengan lagu-lagu nostalgia seperti 'Material Girl' dan 'Lucky Star'.
Konsert jelajah yang mendapat sentuhan pengarah Jamie King dan diketuai oleh pengarah muzik Kevin Antunes setakat ini mendapat ulasan positif, antaranya daripada Rolling Stones yang menyifatkan konsert berkenaan sebagai bukti kehebatan beliau.
Konsert ini, bagaimanapun, mendapat rating R18, yang bermaksud hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan menontonnya.
Tiket akan mula dijual 12 Januari ini melalui Sports Hub Online, talian hotline 3158 7888, National Stadium Box Office, dan semua cawangan SingPost.
Peminat yang berdaftar dengan kelab peminat rasmi Madonna pula boleh mula mendapatkan tiket, termasuk pas VIP, bermula 7 Januari.
Harga tiket pula bermula daripada $108 (RM330) hingga $1,288 (RM3,945).