'Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah', dedikasi Kembara pada era gemilang 80-an

Abdul Malek Jamaluddin
Ogos 3, 2022 12:08 MYT
Muzik Kembara akan terus mekar dan tidak mustahil menjadi rujukan generasi akan datang. - Foto Shiraz Production
KUALA LUMPUR : Malam 31 Julai 2022 bersamaan 2 Muharam 1444 Hijrah pastinya mencatat memori emas buat para peminat kumpulan Kembara.
Lagu pembukaan, Panorama Jingga memberi maksud secara terus kepada nama produksi itu, yang sudah lama dinanti-nanti angkatan peminat Kembara. Diberi nama 'Konsert Panorama Jingga: 1444 Hijrah', kemunculan mereka di atas pentas segera mengubat kerinduan terhadap persembahan konsert seumpamanya.
“Kami buat konsert setahun atau dua tahun sekali. Hari ini menjadi sejarah. 40 tahun dahulu Kembara wujud. Hari ini anda dapat mendengar Kembara, anda menjadi saksi (sejarah ini),” jelas Datuk M. Nasir.
Persembahan semakin rancak diteruskan dengan nyanyian lagu Tarian Hidup, Duit, Rindu, Kepadamu Kekasih dan Di Manakah Dikau.
“Terima kasih pada anda sekalian kerana datang ke konsert kami. Kembara ini tak pernah isytihar ia ditubuhkan dan tak pernah isytihar ia berpecah,” ujar sosok yang diangkat dengan panggilan 'sifu' oleh pemerhati industri itu.
Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) digamatkan dengan kehebatan muzik dan nyanyian, Datuk M. Nasir, Zulkifli Mohamed (gitar utama, vokal), Rahman Suri (bas), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard). Pada usia 65 tahun, kehebatan vokal dan tenaga M. Nasir tidak dapat disangkal.
“Konsert ini dedikasi untuk era 80-an. Apa yang kita ingat waktu 80-an?” soal M. Nasir kepada para penonton lantas memperkenalkan muzik reggae yang popular pada zaman itu kepada para penonton melalui lagu Rozita.
Persembahan diteruskan dengan giliran nyanyian daripada Zoul, membawakan lagu Putar Alam dan Bunga Bakawali. M. Nasir pula menyambung nyanyian dengan lagu Perwira dan Gadis Berpurdah Hitam.
Konsert semakin istimewa apabila satu segmen dituju khas buat A. Ali, antara ahli kumpulan terawal Kembara.
“Kita ada kawan A. Ali, dia telah cipta lebih 500 lagu dan menjadi hits,” kata M. Nasir memperkenalkan sahabatnya dan mendendangkan lagu ciptaan allahyarham iaitu Ada Sepasang Mata, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang.
Kumpulan Kembara pernah menghasilkan album berjudul Kembara (1981), Perjuangan (1982), Generasi Ku (1983), Seniman Jalanan (1984), 1404 Hijrah (1984), Duit (1985) dan Lagu-Lagu Dari Filem Kembara Seniman Jalanan (1986).
“Kembara ada tujuh album tetapi hanya ada beberapa lagu hit,” jelas M. Nasir. Beliau juga memberitahu, terdapat banyak lagu yang apabila didengar semula, mempunyai kualiti untuk menjadi hit.
Para penonton terbuai dengan emosi ketika lagu Mencurah Janji Ke Daun Keladi dialunkan, antara lagu yang sepatutnya meraih kemuncak perhatian pendengar, tapi tidak pada ketika itu.
M. Nasir terus menggamit memori para penonton yang membesar dengan lagu Keroncong Untuk Ana serta Keroncong Untuk Ana 2.
Malam semakin gamat dengan kemunculan Pyanhabib. Para penonton semakin teruja.
Visual dari filem Kembara Seniman Jalanan menjadi latar belakang ketika Osman Tikus (Pyanhabib) mendeklamasikan sajak bertajuk Balada Osman Tikus dan Belalang Kupu-Kupu (1993).
Pada sajak kedua, jika dirujuk kepada buku berjudul Balada Pyanhabib, terdapat sedikit perubahan beberapa rangkap yang menceritakan situasi semasa negara mendapat sorakan penonton.
Turutan lagu-lagu daripada filem kontroversi Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani, skrip ditulis M. Nasir iaitu Balada Osman Tikus, Siapa Orang Kita, Rupa Tanpa Wajah dan Harapan Terakhir menyerikan lagi malam bersejarah itu.
Usai menyampaikan lagu identiti kumpulan Kembara Sesat Di Kuala Lumpur, M. Nasir mengucapkan selamat malam seperti menamatkan konsert malam itu. Semua pemuzik keluar dari pentas utama.
Namun, para penonton tidak berganjak dari tempat duduk dan bersorak mahukan persembahan disambung. Kemudian kelihatan M. Nasir muncul semula dan menyampaikan lagu Ekspres Rakyat.
“Bukan nak berbohong kepada anda semua, tapi taktik lama,” gurau M. Nasir diikuti gelak tawa para penonton.
Itulah M. Nasir yang suka bercanda dengan cara tersendiri. Beliau bukan saja mengusik jiwa pendengar dengan karya buat orang rasa dan berfikir.
Antara lain beliau berseloroh kepada para penonton dengan tawaran menyanyikan lagu Tiara versi P. Ramlee atau Bahasa Mandarin, sekali gus membuat para pemuzik keliru kerana tiada dalam perancangan. Usikan itu 'relevan' memandangkan lagu ciptaan beliau untuk kumpulan Kris itu sempat viral di media sosial.
Dewan menjadi hiruk-pikuk ketika M. Nasir menyanyikan lagu Ekpress Rakyat dan meminta para penonton menyanyi sebanyak empat bar muzik.
Pastinya malam keramat buat peminat kumpulan Kembara tidak lengkap dengan persembahan lagu Hati Emas, Perjuangan dan Gerhana.
Semasa menyampaikan lagu Gerhana sebagai penutup, M. Nasir melompat turun dari pentas, membuat para penonton bersorak, menyerbu dan ada yang mengambil kesempatan berswafoto.
Turut didendangkan pada malam bersejarah itu ialah lagu Kolar Biru, Kupu-Kupu dan Impian Anak Jalanan.
Muzik Kembara akan terus mekar dan tidak mustahil menjadi rujukan generasi akan datang.
Setiap lagu mempunyai falsafah tersendiri dan muziknya sangat segar melangkaui zaman walaupun ada lagu yang berusia lebih 40 tahun.
Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd. turut diiringi oleh dua pemain muzik tambahan iaitu Kuzai (gitar) dan Adam (keyboard). Eja dan Awe pula bertindak selaku penyanyi latar.
Terima kasih Kembara untuk pengalaman terindah buat para penonton.
#konsert kembara #panorama jingga #Hati Emas #M Nasir #Pyanhabib #Kembara Seniman Jalanan
;