Konsert Lefthanded Projek Gila di Kelantan tiada permit penganjuran

Vivi Sumanti
Januari 5, 2021 12:15 MYT
Mengikut perancangan asal, Konsert Lefthanded menerusi Projek Gila akan membabitkan 16 tempat di seluruh negara.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengesahkan tiada permohonan lesen atau permit dibuat pihak penganjur bagi mengadakan konsert legenda rock Lefthanded di Stadium Sultan Muhamad ke 1V di sini bulan depan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin, setakat ini tiada sebarang permohonan atau kelulusan diberikan kepada konsert yang dijadual pada 13 Feb itu.
"Saya boleh sahkan, setakat hari ini, tiada permohonan untuk lesen atau permit. Belum ada.
"Jadi, setakat ini, punca kuasa lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), dan kuasa, adalah di bawah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI)," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
"Setakat ini, yang saya faham, tiada permohonan dan tiada kelulusan diberikan" tegasnya.
Bahkan, kata Izani, sekiranya pihak penganjur ingin mengadakan sebarang acara dalam waktu pandemik COVID-19 sedang melanda ini, ia perlu mengikuti syarat yang ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri.
Antara lain, perhimpunan tidak boleh melebihi 50 orang di satu-satu kawasan terbuka.
"Semua permohonan kena ikut syarat. Mungkin dia buat persetujuan dalam mesyuarat dia, tetapi permohonan tak dibuat lagi. Apabila tak buat permohonan, bagaimana nak lulus?" soalnya.
Ditanya berhubung poster konsert yang telah dikeluarkan bulan lalu, Izani berkata mungkin wujud unsur salah faham atau salah komunikasi berhubung perkara itu.
"Mungkin salah faham dan salah komunikasi dalam mesyuarat jabatan mereka. Buat poster awal, lesen tak minta lagi. Syarat lesen juga kena dipenuhi.
"Kami kerajaan tidak menghalang, tetapi kena penuhi syarat lesen dan datang berunding dahulu dengan pihak kerajaan negeri," tambahnya.
BACA: Legenda rock, Lefthanded, bakal gegarkan Kelantan Februari 2021
Pada 25 Dis lalu, penyanyi utama Lefthanded, Datuk Nasharuddin Elias atau Nash mengumumkan penganjuran konsert berkenaan pada satu sidang media.
Menurutnya, konsert menerusi Projek Gila sempena siri jelajah ulangtahun Lefthanded ke-40 itu dirancang diadakan di 16 lokasi termasuk di Kelantan.
Di Kelantan, ia akan turut disertai 100 pendikir barat.
Sidang media tersebut turut dihadiri Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri, Azman Mohd Daham dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazim
Ketika itu, Azman berkata, MPKB BRI sudah memberikan kelulusan dan permit untuk penganjuran konsert.
#Kelantan #kerajaan #konsert #penganjur #lefthanded #Kota Bharu #COVID-19 #permit #Izani Husin #rock
;