Konsert Lefthanded di Stadium Sultan Muhammad IV dibatalkan
Vivi Sumanti
Januari 10, 2021 16:08 MYT
Januari 10, 2021 16:08 MYT
KOTA BHARU: Konsert legenda rock tanah air, Lefthanded, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 13 Februari depan dibatalkan.
Menurut Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan, Azman Mohd Daham, konsert berkenaan yang dijadualkan pada tarikh berkenaan dibatalkan atas alasan penularan kes COVID-19 yang melanda negara termasuk Kelantan.
"Difahamkan pihak penganjur sudah membatalkan konsert itu dan tidak mengumumkan bilakah tarikh lain untuk konsert berkenaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sebelum ini, Azman menjelaskan konsert berkenaan mendapat kelulusan dan permit daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandaraya Islam, MPKB-BRI ketika mengadakan sidang akhbar bersama penyanyi utama kumpulan tersebut, Datuk Nasharuddin Elias atau Nash pada baru baru ini.
Namun pada 5 Disember lepas, kerajaan Kelantan mengesahkan tiada permohonan lesen atau permit dari pihak penganjur untuk mengadakan konsert Lefthanded di Stadium Sultan Muhamad 1V, Kota Bharu.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin, yang menjelaskan tiada sebarang permohonan atau kelulusan diberikan kepada penganjuran konsert rock tersebut.
Bahkan katanya, sekiranya pihak penganjur ingin menganjurkan sebarang acara dalam waktu pandemik COVID-19 melanda, itu juga perlu mengikuti syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dengan tidak melebihi 50 orang berkumpul di kawasan terbuka.
"Semua permohonan kena ikut syarat, mungkin dia buat persetujuan dalam mesyuarat dia, tapi permohonan tak buat lagi, bila tak buat permohonan bagaimana nak lulus?" tambah Dr Izani lagi.
Mengulas lanjut berhubung kekeliruan itu, Azman menjelaskan wujud salah faham di pihak penganjur, iaitu permit atau kelulusan hanya diberikan untuk "persembahan kebudayaan dikir barat bersama Lefthanded" dan bukannya kelulusan untuk penganjuran konsert di tempat terbuka.
Sebelum ini pihak penganjur telah mengeluarkan poster dan mewujudkan laman media sosial untuk promosi dan jualan tiket.
Baru-baru ini, Datuk Nash mengumumkan penganjuran konsert kumpulan berkenaan di Stadium Sultan Muhammad IV, buat julung-julung kalinya di Kelantan bersempena siri Jelajah Ulang tahun Lefthanded ke-40 di 16 lokasi termasuk di Negeri Cik Siti Wan Kembang.
Persembahan konsert itu akan turut disertai 100 orang pendikir barat.
Kerajaan Kelantan telah lama melarang penganjuran konsert rock secara terbuka selepas perubahan kerajaan di Kelantan pada tahun 1990.
#konsert rock
#Legenda Rock
#lefthanded
#konsert di kelantan
#dikir barat
#konsert terbuka
#pandemik
#COVID-19
#permit
#hiburan