Konsert Lefthanded di Kelantan bukan batal, tapi ditunda - Penganjur
Vivi Sumanti
Januari 13, 2021 12:00 MYT
Januari 13, 2021 12:00 MYT
KOTA BHARU: Konsert Malam 100 Pendikir yang akan disertai oleh kumpulan rock legenda tanah air, Lefthanded di Kelantan tidak dibatalkan, sebaliknya ditunda ke satu tarikh yang belum diputuskan.
Menurut Pengarah Projek konsert berkenaan, Mohd Nadzri Moin, konsert yang sepatutnya berlangsung pada 13 Februari ini ditunda ke bulan Mac.
"Konsert itu tidak dibatalkan, sebaliknya ditunda ke bulan Mac, tapi tarikh belum dapat kami putuskan bila kerana bergantung pada situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini serta kebenaran daripada pihak berkaitan" katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini pada Selasa.
Mohd Nadzri berkata demikian sebagai menjelaskan salah faham beberapa laporan media sebelum ini yang mendakwa Konsert Malam 100 Pendikir Bersama Lefthanded dibatalkan atas alasan peningkatan kes pandemik COVID-19.
Astro AWANI turut melaporkan konsert berkenaan dibatalkan pada tarikh yang dijadualkan pada 13 Februari ini di Stadium Sultan Muhammad ke IV, di sini.
Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan, Azman Mohd Daham berkata, konsert berkenaan yang dijadualkan pada tarikh berkenaan telah dibatalkan atas alasan penularan kes COVID-19 yang melanda negara termasuk Kelantan.
Konsert Lefthanded buat julung kalinya di Kelantan
Pada 5 Disember lalu pula, kerajaan Kelantan memaklumkan tidak menerima permohonan lesen atau permit daripada pihak penganjur untuk mengadakan konsert tersebut di Stadium Sultan Muhammad IV.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Mohd Nadzri menjelaskan, perkara berkenaan timbul kerana berlaku salah faham dan kekeliruan mengenai permit yang sebelum ini telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Sebelum ini, Mohd Nadzri berkata, pihaknya sudah mendapatkan permit dan kelulusan daripada pihak berkaitan termasuk dari Majlis Keselamatan Negara, Kelantan dengan tajuk pementasan Malam Kebudayaan Bersama Lefthanded.
"Mungkin berlaku salah penafsiran tentang tajuk, apa pun kami sudah menemui Dr Izani dan berbincang. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan kami akan menunda konsert itu ke satu tarikh lain memandangkan tidak sesuai dilaksanakan pada waktu ini" katanya lagi.
Kata Mohd Nadzri, pihaknya sudah melakukan segala persiapan termasuk menjalankan kaji selidik selain sudah mula berkampung di Kota Bharu sejak Jun lalu dalam usaha memastikan konsert berkenaan berjaya dianjurkan.
Sementara itu, vokalis utama Lefthanded, Datuk Nashaurddin Elias atau Datuk Nash dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, penganjuran konsert Dikir Barat bersama kumpulan berkenaan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kelantan bersempena siri jelajah ulang tahun Lefthanded ke 40.
Penganjuran siri jelajah konsert berkenaan membabitkan 16 lokasi termasuk negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu buat julung kalinya kumpulan rock ini akan memartabatkan seni budaya muzik tradisional Kelantan iaitu Dikir Barat.
Persembahan kumpulan itu juga akan diserikan lagi dengan kemunculan 100 pendikir barat serta penyanyi tersohor tempatan seperti Man Khan dan Cikgu Sulizi.
Kerajaan Kelantan telah lama melarang penganjuran konsert rock secara terbuka selepas perubahan kerajaan di Kelantan pada tahun 1990.
#konsert Lefthanded
#Kelantan
#Konsert Malam 100 Pendikir
#Datuk Nash
#Nash
#ulang tahun Lefthanded
#MPKB-BRI
#dikir barat
#Cik Siti Wan Kembang