Konsert kala pandemik: Air mata Misha Omar, desah nafas penggiat seni
Hamzah Hamid
Oktober 31, 2021 11:27 MYT
Oktober 31, 2021 11:27 MYT
BANYAK yang berjinjit dalam fikiran sepanjang perjalanan hampir dua jam konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) Bersama Bintang Misha Omar pada Sabtu malam di Istana Budaya.
Malam hujung minggu yang bukan biasa-biasa. Sebuah venue berprestij kembali membuka pintu sejak sekian lama ‘dikunci’ pandemik. Malah pada ketika larangan aktiviti berhimpun dan acara persembahan langsung dikuat kuasa, kesepian panggung itu seolah-olah menjadi lambang suramnya industri seni kreatif negara dan seluruh angkatan penggiatnya.
Malam itu juga adalah tentang disiplin menjaga prosedur operasi standard (SOP). Semua orang belum lupa bahawa di dalam ruang tertutup itu, walaupun luas, setiap individu masih didakap ancaman yang tidak terlihat.
Maka, tertib menjadi perisainya. Tetamu yang datang haruslah melepasi syarat vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka, menggunakan sanitasi, mendaftar masuk dengan MySejahtera, tidak terlalu berasak, atau merapat-rapat terlalu lama. Tenang-tenang saja.
Syabas buat para petugas Istana Budaya yang sesekali menegur dan mengingatkan. Sekiranya penganjuran kali itu lancar dan terkawal, pastinya menjadi penanda aras untuk acara-acara seumpamanya pada masa mendatang.
Bukan main-main
Sementara menunggu tirai pentas dinaikkan, terimbas sebentar tentang debar persediaan Misha dan pasukannya sejak awal projek ‘muzik untuk rakyat’ itu diuar-uarkan.
“Kami tak lepak dengan sesiapa sembarangan buat masa ni ya. Pergi latihan dan pulang. Bayangkan kalau satu kena, terpalit semua. Kena berjaga. Kalau nak lepak, boleh, tapi nanti lepas habis tanggungjawab konsert ini ya,” ingatan kakak dan juga pengurus Misha, Mimi Omar, kepada saya tempoh hari sewaktu ajakan untuk berjumpa lantaran aktiviti merentas dan dine-in dibenarkan.
Tidak pula saya berkecil hati apabila ajakan itu ditolak, malah lebih menghormati dan mengagumi semangat mereka.
“Dah lama tak naik panggung buat persembahan, dengan muzik orkestra pula tu. Kena fokus dulu. Ini bukan main-main,” kata Misha pula, yang sanggup mengetepikan sementara banyak perancangan institusi keluarganya demi konsert itu, termasuk soal mahu menambah zuriat.
Mengenali personaliti wanita asal Kelantan itu yang serius memikul tugasnya, memang tidak hairan apabila dia kembali tekun ‘masuk sekolah’ bergurukan Datuk Syafinaz Selamat selama sebulan menjelang malam konsert.
Menonton gaya wanita itu yang selesa menguasai khalayak Panggung Sari, sambil memperaga busana kuning rekaan Michael Ong dan kemudian bertukar ke persalinan merah menyala Christian Dior, teringat seketika aksinya selama berbelas bulan sebelumnya di Instagram.
Sambil memakai baju ‘asal siap’ berlatarkan dinding rumah, Misha seronok membebel, berjenaka, bernyanyi, mengusik, berkaraoke dan bermesra di hadapan pengikutnya.
“Sesi dengan followers tu untuk mengingatkan diri bahawa diri ini masih boleh nyanyi, dan berkerjaya sebagai penyanyi. Rasa terharu apabila mengetahui suara ini diterima, mampu menenang dan menghiburkan orang," ujarnya.
Pernah juga kami sesekali berkongsi keluhan tentang kehidupan yang terkurung sepanjang musim-musim perintah sekatan pergerakan lalu. Antara yang disebutkannya, dia merindui suasana berlatih dengan mentor-mentornya.
“Kesempatan menimba ilmu dan perbaiki diri itu wajib. This is my career, bang,” teringat luahan wanita itu dalam sesi perbualan santai kami lewat WhatsApp ketika COVID-19 sedang mengganas pada awal tahun ini.
Tenaga konsert
Ya, jelas malam itu Misha tidak mengecewakan 737 peminat yang duduk di kerusi hijau empuk berselang jarak. Ia tentunya suatu ganjaran istimewa selepas lama tidak dihidang hiburan secara langsung, dan juga selepas ‘drama’ kepayahan membeli tiket dengan kekangan yang pelbagai.
Diiringi 80 pahlawan muzik berbakat dari OSK pimpinan Nasran Nawi, getar emosi yang diterbitkan dalam lantunan suara Misha membuai pendengar dalam cerita-cerita tentang kehidupan.
Disulam pula dengan celoteh bersahaja di sela lagu, ia menjadi momen intim di mata dan telinga para peminat bertuahnya. Misha menjadi dirinya tanpa pura-pura, dan semua terasa begitu dekat.
Antara detik yang diingati, selain susunan lagu-lagu popularnya, adalah segmen bersama Datuk Ramli M.S. iaitu tribut khas untuk mengenang Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin. Ada sayu yang mengalir dari pentas ke tempat duduk penonton.
Tanda dagang Misha di atas pentas memang ringkas namun tepat. Tanpa perlu diganggu prop hias yang berlebihan, kejutan gimik mahupun penari latar, elemen yang dijual hanyalah penampilannya yang elegan, suara yang menembus sanubari, permainan cahaya pencetus mood dan sinergi kemewahan muzik.
Meskipun sesekali dikesan kejanggalan pada paparan layar visual dan ada ketika vokal Misha agak tenggelam dalam bingit muzik, diakui ia masih minimum, malah diabaikan oleh hadirin tanpa tercemar kepuasan.
Anak seni
Nur Hazwin Roslan, 31, mengakui dirinya teruja dan amat rindu untuk membuat persembahan langsung di hadapan penonton.
“Happy sangat dapat kembali berkumpul dengan anggota lain dan membuat persembahan. Ini yang pertama di hadapan penonton sejak pandemik melanda,” ujar pemain violin itu yang sudah enam tahun dalam keluarga OSK.
Ceritanya, sejak pandemik bermula, dia hanya meneruskan latihan di rumah, bermain instrumen supaya memori otot tangannya terus berfungsi, menerima tugasan dan membuat rakaman untuk hantaran di media OSK.
Tambah pemuzik sepenuh masa itu, mendengar sorakan dari panggung yang full-house adalah suatu perasaan luar biasa.
“Saya berharap industri muzik dibenarkan kembali beroperasi macam biasa, selain mengharap golongan seperti kami mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya oleh pihak berkenaan supaya kami dapat terus hidup,” luahnya, sambil menyatakan simpati pada rakan-rakan pemuzik freelance yang mengalami nasib berbeza.
Ternyata, titis air mata Misha dan harapan Nur Hazwin di penghujung konsert itu membawa 1,001 pengertian yang mewakili keseluruhan sentimen anak-anak seni.
“Dah lama tak rasa suasana datang konsert kan? Rindu semua ni. Seronok tengok artis dan musicians dapat balik job macam ni. Harap ada banyaklah lepas ni,” sayup perbualan seseorang yang saya tercuri dengar di ruang legar Istana Budaya.
Memang itu sebenarnya tujuan manusiawi di sebalik suntikan dana dan inisiatif, yang difahamkan, disalurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Selain mahu membudayakan semula apresiasi seni dalam kalangan rakyat, penganjuran konsert seumpama itu ibarat sebekas sinar untuk golongan terlibat.
Sinar itu terlimpah - ke atas penyanyi, pemuzik, jurutera bunyi, penata cahaya, juruteknik pentas, penata rias, penata gaya, pengendali multimedia hinggalah ke ‘tauke’ panggung - untuk berkongsi rezeki dan kembali berasa bangga betapa bakat, kemahiran dan kewujudan mereka amat bernilai.
Dalam harapan agar ancaman virus korona menemui titik sudah, dan dunia kembali pulih untuk sebanyak peluang kerja, ternyata judul-judul lagu dendangan Misha Omar bersilang-silang dalam fikiran.
Sampai Bila pandemik ini mempengaruhi dan mengubah rentak hidup kita? Adakah akan timbul rasa Tanpa Rela untuk terus mematuhi protokol kesihatan? Akankah nanti Tiada Lagi Tangisan bagi seluruh penggiat seni yang sekian lama vakum peluang pendapatan? Dalam terowong ketidakpastian yang kelam dan menyesakkan dada, di manakah pula Nafas Cahaya?