Konsert India di Malaysia tingkatkan kedatangan pelancong asing
Bernama
Februari 18, 2023 12:29 MYT
Februari 18, 2023 12:29 MYT
KUALA LUMPUR: Konsert India yang diadakan di Malaysia baru-baru ini menjadi pemangkin kepada ketibaan pelancong asing ke negara ini.
Konsert Santhosh Narayanan - pengarah muzik bagi filem Kabali dibintangi pelakon Rajinikanth - dijangka menarik kira-kira 13,000 penonton termasuk 2,000 warga asing.
Pengarah muzik India berusia 39 tahun itu akan tiba di Kuala Lumpur bulan depan bagi menjayakan konsert antarabangsa pertamanya, 'Sounds of the South' pada 18 Mac jam 6 petang di Axiata Arena.
Pengarah Reacch Productions Sdn Bhd, Suresh Subramaniam yang merupakan penganjur konsert, berkata beberapa penyanyi dan penari tempatan akan membuat persembahan bersama Santhosh ketika segmen utama persembahan itu sebagai langkah mengiktiraf bakat tempatan di Malaysia.
"Kami menjangkakan kira-kira 13,000 orang menghadiri konsert 'Sounds of the South', termasuk 2,000 pelancong asing dari Singapura dan juga India," katanya kepada Bernama.
Santhosh, yang lebih dikenali sebagai SaNa oleh peminatnya menerima banyak anugerah industri filem India, terkenal dengan latar belakang muziknya serta kehebatan bermain alat muzik tradisional rakyat termasuk gubahan lagu yang memberikan rasa berbeza.
Beliau ialah komposer lagu bagi filem Kabali - sebuah filem yang difilemkan sepenuhnya di Malaysia - di mana lagu Nerupada dan lagu tema filem itu menjadi kegemaran pendengar sepanjang zaman.
Konsert 'Sounds of the South' di Kuala Lumpur akan menjadi konsert antarabangsa pertama Santhosh, dengan menampilkan beberapa lagu paling popular - bersama-sama dengan lagu yang belum pernah didengari sebelum ini.
Suresh berkata konsert itu bakal mencipta detik ajaib kepada penonton di Malaysia, dengan pentas seumpama itu akan memberikan penonton pemandangan 360 darjah.
"Reka bentuk bunyi, program pencahayaan dan skrin dirancang dengan baik untuk memberikan standard persembahan antarabangsa (dan) bakal menggamit perhatian penonton agar memperoleh pengalaman yang tidak dapat dilupakan," katanya.
Santhosh juga akan membuat persembahan bersama penyanyi Australia Dheekshitha Venkadeshan juga dikenali sebagai Dhee, yang terkenal dengan lagu berjudul 'Enjoy Enjaami'.
Penganjur turut melibatkan Instagram Meta Developers sebagai kaedah baharu pemasaran media sosial.
Pengguna Instagram boleh pergi ke halaman Instagram @reacch.asia dan mencuba 'filter' yang baharu dilancarkan dengan mengimbas logo "Sounds of the South".
Tiket konsert boleh didapati secara atas talian menerusi laman sesawang, www.ticket2u.com.my.
-- BERNAMA