Konsert Gergasi KRU 25, penutup penuh gemilang buat KRU
Madiha Abdullah
Mei 5, 2018 15:15 MYT
Mei 5, 2018 15:15 MYT
Di era 90an, ketika dunia muzik antarabangsa dilanda kegilaan boyband yang dicetuskan oleh New Kids on the Block, yang kemudiannya diteruskan oleh Backstreet Boys dan 'NSYNC, peminat muzik di negara ini pula 'dijangkiti' demam yang hampir sama.
Tidak bermaksud menyamakan mereka dengan boyband luar, kerana realitinya arah muzik dan konsep mereka tidak sama, namun perlu diakui, fenomena yang dicipta tidak jauh berbeza.
Sold out tour, konsert dalam dan luar negara, lebih 10 buah lagu yang pernah mencapai kedudukan nombor satu di pelbagai carta muzik, countless of industry awards dan catatan lebih 1 juta jualan album; ia sebahagian daripada lukisan dalam kanvas mereka yang penuh warna-warni.
Itulah KRU. Berselang 25 tahun kemudian, empayar mereka bukan sahaja terus hidup, malah bertapak kukuh dan teguh.
Dengan 13 buah album dan ratusan buah lagu, tentunya bukan senang mahu memampatkannya dalam satu konsert berdurasi dua jam.
Ironinya, konsert yang merupakan salam perpisahan KRU untuk peminat ini diraikan penuh meriah, sesuai dengan hebatnya legasi yang bakal ditinggalkan.
Yusry was on his usual charm, Edry masih joker of the group, dan Norman masih 'si abang long'.
Memulakan persembahan dengan rangkaian lagu The Way We Jam, Awas dan Terhangat Di Pasaran, baik Norman, Yusry mahupun Edry, berjaya menyuntik adrenalin penonton ke tahap tertinggi.
Bagaikan satu sesi karaoke beramai-ramai apabila peminat juga cukup sporting menyanyi bersama-sama lagu yang menjadi peneman mereka di zaman remaja.
Seleksi 16 buah lagu yang disampaikan merupakan lagu-lagu yang sehingga kini masih menjadi siulan ramai, antaranya Negatif, Mengerti, Apa Saja dan Oh La! La!, yang turut diselang-selikan dengan sesi 'imbasan semula' kisah humor dan jenaka yang terlakar sepanjang 25 tahun bergelumang sebagai anak seni.
Agak menarik juga apabila KRU membuat satu segmen tribute untuk kumpulan penari yang suatu ketika dulu sering bersama mereka menghidupkan setiap persembahan pentas, yang dikenali sebagai DanceKRU.
Di tengah-tengah kerancakan tiga beradik ini mengusik sesama sendiri dan mengimbau kenangan silam, hati penonton terusik apabila Edry meluahkan penghargaan tidak terhingga buat para peminat yang setia di belakang mereka.
"Kami tak pernah jangka akan bertahan selama ini. Dulu semasa memulakan kerjaya sebagai artis, kami cuma mahu memberi hiburan, kami hanya mahu buat lagu," katanya sebak.
Dua jam berlalu tanpa disedari. Tatkala Fanatik berkumandang sebagai encore, penulis sedar itulah kali terakhir menyaksikan KRU bersatu di pentas.
Hakikatnya, KRU merupakan tiga bakat luar biasa yang bersatu di bawah satu jenama dan 50 tahun akan datang pun, belum tentu akan ada yang mampu menjadi pengganti.
Konsert Gergasi KRU 25 akan diteruskan malam ini dan esok di Panggung Sari, Istana Budaya.
Nota: Sila hormati peraturan Istana Budaya yang tidak membenarkan sebarang rakaman sepanjang persembahan berlangsung. Pancaran laser itu sangat mengganggu bagi mereka yang mahu berhibur dengan tenang. Nikmati dan hayati setiap baris lirik dan melodi, simpan semuanya dalam hati. Percayalah, memori itu akan kekal abadi.
#Edry KRU
#fanatik
#Istana Budaya
#konsert
#Konsert Gergasi KRU 25
#kru
#Lisa Surihani
#Mengerti
#Norman KRU
#oh La La
#perpisahan
#Yusry KRU