Konsert Gendang Pati buktikan muzik Melayu ada kelas tersendiri
Irwan Muhammad Zain
November 20, 2023 21:33 MYT
November 20, 2023 21:33 MYT
SABTU, 18 November mencatatkan satu lagi sejarah penting untuk dunia muzik tempatan terutama muzik kontemporari Melayu.
Malam yang penuh misteri itu, Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) padat dengan jiwa-jiwa yang sentiasa mahu merai dan merayakan muzik Melayu, yang mana melodinya sentiasa memukau dan mengasyikkan.
Dalam tiga jam yang memukau, penonton diajak melalui perjalanan bersama alunan gendang yang menggugah perasaan.
Itulah konsert Gendang Pati Datuk M. Nasir yang beberapa bulan sebelum itu telah menawan jiwa peminat muzik Singapura.
Dengan setiap paluan gendang, jiwa seni M. Nasir menebar pesona, merentangkan lanskap melodi yang menggetarkan hati. Dewan Plenary bukan sahaja menjadi gelanggang, tetapi mahligai yang mana suara dan irama bergabung dalam keharmonian yang memikat.
Sebaik video dimainkan dan munculnya 'burung Phoenix' di tengah pentas, penonton sudah dapat merasakan perjalanan penuh makna dalam sebuah konsert yang bakal ditempuhi. Phoenix Bangkit dan Semakin Nyata membuka pentas.
"Jangan berasa terasing. Saya akan bawa anda ke Pulau Kencana,” sambung beliau lantas menyambung persembahan dengan lagu Inang Pulau Kencana.
Konsert diteruskan dengan lagu Secangkir Kopi Semanis Puan yang sarat dengan elemen genre muzik Sunda dan Jawa yang kemudiannya disusuli dengan lagu Bila Rumi Menari.
Lebih istimewa adalah persembahan lagu Bagaikan Sakti yang menampilkan kumpulan koir terdiri daripada 25 orang murid dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices. Kumpulan ini pernah mencipta kejayaan pada World Choir Games 2023.
Melalui persembahan lagu-lagunya yang telah menjadi warisan seni, penonton dibawa merentasi zaman, mengingati kenangan lama dan merayakan keabadian muzik. Satu persembahan yang tidak hanya memenuhi halwa telinga, tetapi juga menyentuh hati dengan lirik yang kaya makna.
“Saya tertarik dengan persembahan mereka setelah menyaksikan persembahan mereka di Terengganu dalam sebuah pertandingan ‘koir’, dimana mereka telah menjadi juara”, ujar M. Nasir.
Segmen lagu-lagu popular yang dihasilkan oleh M. Nasir untuk artis-artis tempatan juga cukup memberi kesan kepada penonton dan 'menarik' khalayak kembali ke tahun 80-an. Antara lagu-lagu yang menjadi pilihan adalah Gadisku (Search), Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Tiara (Kris), Fantasia Bulan Madu (Search), Hukum Karma (Wings) dan Pawana (Search).
Antara alunan suara dan muzik, penonton mengalami satu persembahan yang lebih daripada sekadar konsert; ia adalah persembahan seni yang mewakili keindahan dan kedalaman jiwa manusia.
Empat dekad dalam bidang muzik, M. Nasir tetap menampilkan persembahan mantap dan bertenaga sepanjang tiga jam konsert yang turut di barisi oleh 16 pemuzik hebat - yang dipanggilnya Gong, barisan pemuzik yang mengiringinya sekian lama - iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram) serta penyanyi latar, Eja, Juanita, Yuaz dan Awe.
Ia dilengkapkan lagi dengan penampilan pemain perkusi, Paang, Awe, Mat Din, Che Long dan Anas.
Melalui Gendang Pati, M. Nasir dan Gong mencipta paduan suara yang memikat, menambah dimensi baru kepada konsert dan mewujudkan lapisan keunikan yang memukau.
Dalam suasana cahaya gemerlapan, M. Nasir dan Gong menyampaikan persembahan yang melibatkan penonton dalam setiap ketukan. Momen ini tidak hanya sebagai persembahan konsert, tetapi sebagai peristiwa di mana seni dan budaya bersatu dalam keindahan yang luar biasa.
Seiring dengan cahaya-lampu berkilauan yang menyertai setiap pergerakan, konsert Gendang Pati M. Nasir tidak hanya menyentuh hati, tetapi juga merayakan kegembiraan dan keindahan hidup. Sebuah persembahan yang puitis dan artistik, mencipta kenangan abadi yang akan dikenang oleh setiap penonton.
Bagaimanapun, dalam bergembira, maestro muzik ini tidak melupakan kesengsaraan yang dihadapi penduduk Gaza dengan menghadiahkan lagu Masirah.
M. Nasir berkata, lagu itu diilhamkan daripada kejadian sebenar pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah berdepan anggota tentera Israel. Lagu yang ditulis lebih 20 tahun lalu itu menjadi dendangan penutup konsert anjuran MND Sports & Events dan diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd.
Selain lagu, konsert turut membabitkan bacaan doa qunut nazilah serta bacaan puisi ‘Thaurah Palestin’ karya Datuk Dr Usman Awang yang telah di deklamasikan oleh Amerul Affendi sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin di penghujung konsert.
Beroh Bedem Nafdiq Ya Syahid
Beroh Bedem Nafdiq Ya Syahid
Beroh Bedem Nafdiq Ya Syahid
Beroh Bedem Nafdiq Ya Syahid