Konsert Fredo 'Flybaits' untuk tampung kos perubatan isteri
Bernama
Januari 18, 2018 04:00 MYT
Januari 18, 2018 04:00 MYT
Bekas vokalis kumpulan Flybaits yang popular pada era 1980-an dengan lagu 'Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta' bakal menggegarkan Restoran Terapung D'Saji KL Titiwangsa di sini pada 2 Februari depan.
Konsert 'Kenangan Lalu Bersama Fredo Flybaits Ft The Flinstones' yang dijadualkan bermula 7.30 malam itu bakal mempersembahkan 16 lagu popularnya termasuk lagu-lagu malar Flybaits buat peminatnya.
Menurut Fredo atau nama sebenarnya Mohd Amani Abdullah, konsert itu diadakan bagi mengumpul dana untuk menampung kos rawatan isterinya Suzlynna Mustapha, 53, yang perlu melakukan pembedahan.
"Emergency Konsert Showcase ini merupakan antara usaha saya untuk bantu isteri yang perlu melakukan pembedahan tumit kakinya dan rawatan lanjutan," katanya pada sidang media mengenai konsert itu di sini, pada Khamis.
Biarpun usianya sudah mencecah 67 tahun, faktor umur tidak menghalang Fredo untuk membuktikan beliau masih bertenaga di atas pentas persembahan dan tidak pernah berniat bersara daripada karier itu.
Penyanyi yang memulakan karier pada usia 31 tahun itu juga ingin membuktikan bahawa penyanyi senior sepertinya mampu bertahan lama dalam industri muzik dan lagu-lagu malar hijau masih diminati ramai.
"Saya memang berhasrat untuk mengadakan konsert bersama-sama anggota Flybaits, namun kekangan kesihatan membuatkan kami tidak dapat bekerjasama," katanya, menambah konsert terakhirnya bersama kumpulan Flybaits diadakan di Singapura pada 2015.
Tiket untuk makan malam dan menyaksikan konsert terbabit dijual pada harga RM300.
Fredo berkata, pembeli tiket VIP konsert anjuran D'Saji Titiwangsa dan BEST FB KL Concert itu dapat meluangkan masa bersamanya kira-kira sejam di bilik khas selepas konsert tersebut.
Orang ramai kini boleh membeli tiket di kaunter pertanyaan restoran itu atau melalui WhatsApp di talian +60-111-6950047 dan di laman web MyTicket.Asia.
-- BERNAMA