Konsert Endemik Search eksperimen baharu, lambang kebangkitan band rock legenda

Sahlizah Mohamed
Mei 29, 2022 17:47 MYT
Search kini sedang memasuki fasa baharu dan tidak hanya menumpukan konsert 'head banging' semata-mata. - Gambar/ Padu Photo
KUALA LUMPUR: Tampil sebagai kumpulan rock mainstream pertama yang bakal membawa gegak gempita di seluruh pelosok dewan konsert bertaraf antarabangsa, Zepp Kuala Lumpur, Konsert Endemik Search menjadi acara wajib hadir kepada peminat di luar sana.
Selepas dua tahun diam terperuk melawan virus durjana COVID-19, Search sendiri mengalu-alukan kehadiran penonton secara bersemuka dan menyaksikan sendiri kebangkitan perjalanan baharu kumpulan legenda itu.
Search ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini melahirkan keterujaan untuk beraksi, melepaskan tenaga dan adrenalin yang bertahun tersimpan untuk sebuah konsert berskala besar pada 4 dan 5 Jun ini.
“Konsert Endemik Search merupakan sebuah pelayaran baharu Search. Kami bakal melancarkan single Endemik I dan Endemik II.
“Endemik merupakan eksperimen terbaharu kami. Bukan lagi lagu yang berdurasi tiga atau empat minit, tetapi dunia kini lebih ke arah menghasilkan muzik antara lima ke enam minit.
“Semua yang mengikuti Search tahu kami akan sentiasa bereksperimentasi sejak dulu. Mencipta dan mencuba sesuatu yang baharu dan itulah kami,” kata Amy.
Menurut Amy, Endemik I merupakan sebuah lagu ‘fast song’ berkisarkan bagaimana dunia melawan COVID-19 dan Endemik II pula lebih kepada rentak ‘ballad’ tentang kehilangan yang dirasai sepanjang waktu duka itu.
Bukan lagi konsert ‘head banging’
Menjelaskan lebih lanjut, Nasir jelas menetapkan nawaitu Search yang kini sedang memasuki fasa baharu.
“Search sedang memasuki fasa baharu. Tidak hanya kepada konsert ‘head banging’ semata-mata.Kita ada konsep yang baharu. Kami cuba ketengahkan rock and roll dengan mod teater.
Senior band tidak boleh duduk di tempat yang sama. Lapangan muzik sangat luas untuk kami terus meneroka. Search perlu kekalkan prestasi dan kualiti untuk kekal relevan,” katanya.
Menyentuh tentang pemilihan lagu yang akan dibawakan pada malam konsert, Nasir berkata, 70 peratus merupakan lagu popular mereka yang jarang dimainkan.
“Kita sudah lama, berpuluh tahun dan ada beratus lagu. Kali ini keutamaan kita untuk mainkan lagu-lagu lama sekitar tahun 1980 dan 1990.
“Kami tidak boleh syok sendiri. Kami perlu fikir kepuasan penonton. Lagu-lagu kami memberi memori kepada peminat dan ia akan menjadi keutamaan Search pada malam konsert nanti,” jelasnya.
Mengulas tentang Endemik, Nasir berkata, tajuk single itu diilhamkan oleh Amy.
“Kita berjaya buat dua single. Kemudian bila datang perancangan konsert, kami gunakan tajuk yang sama iaitu Endemik kerana kami lihat ia kena pada waktunya,” kata Nasir.
Man Kidal, Hillary Ang cipta sejarah beraksi sepentas
Saat yang amat ditunggu-tunggu oleh pemain gitar legenda, Man Kidal untuk konsert istimewa yang padanya bukan hanya melakar sejarah tersendiri untuk Search, tetapi juga untuk peminat.
“Memang saya rindu momen ini. Saya dengan Hillary tidak pernah berkonsi pentas sama. Waktu latihan pun saya sudah merasai ‘vibe’ itu. Sudah 38 tahun dan momen yang ada selepas COVID-19 ini membuatkan saya begitu teruja.
“Single Endemik ini istimewa dan membawa kelainan. Saya yakin peminat akan mengikuti Konsert Search Endemik ini dan bersama dengan kami semua,” jelasnya.
Bagi Hillary Ang, perkenalan selama 40 tahun dan perasaan yang ada dalam diri mereka masih sama sejak dari awal.
“Kami masih sama seperti dulu dan itu membuatkan kami teguh dan kuat sehingga ke hari ini. Kami bukan hanya dalam kumpulan rock, tetapi lebih kepada keluarga,” katanya.
#COVID-19 #Amy #search #Konsert Endemik Search
;