Konsert Coldplay: Peminat sanggup redah hujan, kesesakan trafik

Nickyson Nyambar
November 22, 2023 17:13 MYT
Keadaan para peminat Coldplay yang sudah mula beratur berada di pekarangan Stadium Nasional walau dalam keadaan hujan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Peminat-peminat kumpulan Coldplay sanggup berhujan sebelum dibenarkan memasuki Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan persembahan dari band terkemuka itu.
Difahamkan, peminat sudah mula berada di pekarangan stadium sejak pagi lagi.
Meskipun begitu, khemah telah disediakan pihak penganjur di bahagian pintu masuk utama stadium untuk keselesaan peminat.
Sementara itu, keadaan trafik setakat jam 5 petang sesak dengan kenderaan bergerak perlahan.
Kawalan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota dari pihak penganjur berada di sekitar stadium bagi memastikan kelancaran kemasukan peminat.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini memberitahu bahawa konsert ini turut mengguna pakai suis pemati (kill switch).
Fahmi berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) serta penganjur konsert itu.
Ini adalah merupakan kali pertama kumpulan tersohor itu mengadakan konsert di Malaysia dalam siri jelajah Music of The Spheres Tour yang bermula sejak Mac lalu.
Seramai 85,000 pengunjung dijangka memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Kumpulan itu dibarisi oleh Chris Martin, Johny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion.
#Coldplay #konsert #peminat #Stadium Nasional
;