Konsert Butterfingers, Transcendence 20 Tahun ubati rindu 'Royal Butters'

Fareez Azman
November 3, 2019 16:23 MYT
Persembahan mantap kumpulan Butterfingers di hadapan 8,500 penonton di Stadium Melawati, Shah Alam malam tadi. - Foto oleh Shafiq Shahar
Siapa yang tidak kenal dengan Butterfingers, kumpulan rock tempatan yang pernah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa pada era 90an.
Kerinduan peminat akan muzik "post-grunge" dan "alternative rock" nukilan Butterfingers akhirnya terubat dalam Konsert sempena sambutan ulang tahun 20 tahun album ketiga kumpulan itu, Transcendence, yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada Sabtu malam.
Tiada siapa menyangka, sambutan peminat Butterfingers tidak kurang hangatnya jika dibandingkan dengan konsert artis-artis sebelum ini.
Tepat jam 8.40 malam, kumpulan yang dianggotai Emmet (vokalis), Loque (pemain gitar), Loko (pemain dram) dan Kadak (pemain bass) memulakan rentak yang amat dinantikan peminat atau lebih mesra dipanggil 'Royal Butters'.
Persembahan mantap disajikan kepada peminat bermula dengan lagu Chemistry, Epitome, Meltdown dan Mermaid.
Diikuti lagu lagu seperti Doomsday, Faculties of the Mind, Floating, RnR, Weird dari setlist Chemistry.
Setiap lagu yang dimainkan dilihat berjaya membawa peminat kembali ke zaman kemuncak mereka era 90an.
Hangatnya konsert semakin membara apabila ada dalam kalangan peminat yang berdiri sambil menari dan ada juga yan melakukan aksi 'moshpit' di hadapan pentas.
Semua ternyata berpuas hati dengan persembahan 'berapi' yang ditampilkan setiap ahli Butterfingers.
Jika dilihat kepada setlist, 27 lagu disajikan Butterfingers kepada penonton sepanjang tiga jam konsert itu berlangsung.
Namun ketika pertengahan persembahan, Kadak (pemain bass) mengalami sesak nafas di belakang pentas sehingga tidak dapat meneruskan konsert.
Hanya persembahan secara akustik tanpa petikan gitar bass disajikan Loque, Emmet dan Loco kepada peminat.
Namun ianya tidak dilihat gagal, sebaliknya masih memberi kepuasan kepada peminat.
Konsert anjuran UNIFI sepanjang hampir 3 jam itu dihadiri kira kira 8,500 penonton.
#1993 #Butterfingers #Butters #Chemistry #Emmet #Grumnge #Kadak #konsert #Loco #Loque #MANTAP #peminat #Post Grunge #Rock Alternatif #Royalbutters #sesak nafas #shah alam #Stadium Melawati #Transcendence #ulang tahun
;