Konsert BTS di Singapura, aksi Jimin jatuh terlentang 'gamatkan' netizen
Astro Awani
Januari 20, 2019 12:02 MYT
Januari 20, 2019 12:02 MYT
Kumpulan sensasi pop dari Korea Selatan, BTS memukau lebih 55 ribu penonton yang hadir menyaksikan konsert jelajah Love Yourself pada Sabtu malam di Stadium Nasional Singapura.
Peminat tegar kumpulan itu, ARMY yang datang dari seluruh Asia Tenggara nyata terhibur dengan aksi bertenaga dengan kumpulan yang mencipta fenomena luar biasa sepanjang 2018.
Bagaimanapun ketika asyik berhibur dengan nyanyian dan gerak tari seirama kumpulan itu, terdapat satu insiden yang mencuri perhatian peminat.
Jimin salah seorang anggota BTS dilihat jatuh terlentang ketika sedang rancak menari lagu DNA. Aksi itu berlaku dipercayai kerana lantai pentas yang licin dan berjaya dirakamkan peminat yang berkongsikan video tersebut di media sosial.
Namun dengan gaya seorang 'gentleman', Jimin yang berambut merah jambu muda bingkas bangun dan meneruskan persembahan.
Jungkook, salah seorang anggota BTS yang lain turut terkejut dan berhenti seketika menari sambil tertawa dengan aksi Jimin itu.
Peminat juga sempat merakamkan RM, J-Hope, V dan Jungkook secara berseloroh membersihkan bahagian licin di atas pentas yang terkena air.
Selepas Singapura, konsert jelajah Love Yourself akan diteruskan di Fukuoka, Jepun, Hong Kong dan Bangkok, Thailand.